|

Syarikat Boleh Berkembang Secara Vertikal Atau Horizontal

Hari ini sempat jumpa seorang anak muda yang berniaga. Sambil makan nasi biryani kambing di Mango Road Briyani, ada masuk topik cara nak kembangkan bisnes.

Salah satu cara sebuah syarikat untuk mengembangkan bisnes atau perniagaan mereka adalah melalui vertical integration atau horizontal integration.

Vertical Integration

Vertical integration adalah strategi di mana syarikat berusaha untuk menguasai seluruh rantaian pembekalan (*supply chain*) daripada awal sehingga ke produk akhir.

Contohnya, syarikat boleh mengambil alih pembekal bahan mentah, pengilang, hingga ke pengedar atau peruncit. Ini memberikan syarikat kawalan yang lebih ke atas kualiti produk, kos, dan masa penghantaran. Dengan kata lain, syarikat menguasai setiap langkah dalam proses pembuatan dan penjualan produk mereka.

Horizontal Integration

Horizontal integration pula melibatkan syarikat menguasai atau berpakat dengan syarikat-syarikat lain yang mungkin menawarkan produk yang hampir sama tetapi berada dalam pasaran yang berbeza.

Ini membantu syarikat untuk meluaskan pasaran mereka, meningkatkan capaian pasaran, dan mengurangkan persaingan. Contohnya, sebuah syarikat minuman mungkin bergabung dengan syarikat minuman lain untuk menguasai lebih banyak segmen pasaran.

Strategi Chin Hin Group

Ini hanya perkongsian ringkas dan bukannya BuyCall

Chin Hin Group Berhad telah menunjukkan contoh yang cemerlang dalam menggunakan kedua-dua strategi ini untuk mengembangkan perniagaan mereka. Mereka telah melakukan beberapa pengambilalihan strategik yang penting.

Chinhin ada menguasai dan juga menjalankan kerjasama dengan syarikat-syarikat lain seperti Signature (buat kabinet dapur dan perabot rumah), Ajiya (terlibat dengan bahan-bahan pembinaan).

Dengan gabungan kepentingan dalam syarikat-syarikat ini, Chin Hin memperluaskan jejaknya dalam pelbagai industri, dari bahan binaan hingga perabot dan produk rumah, melalui strategi penggabungan dan pengambilalihan yang agresif.

Ini bukan sahaja membantu mereka untuk berkembang, tetapi juga untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran.

Saham Bukan Zero-Sum Game

Apabila kita bercerita tentang syarikat yang sentiasa berusaha untuk mengembangkan perniagaan mereka, ini sebenarnya menyangkal dakwaan bahawa saham hanyalah *zero-sum game*.

Kita melabur saham dengan harapan sesebuah syarikat akan berkembang dan hasil daripada mengembangkan syarikat, keuntungan bertambah dan meningkatkan nilai pegangan kita.

*Zero-sum game* berlaku apabila sesuatu melibatkan sumber yang terhad di mana mereka yang tidak berjaya memperolehinya akan rugi dan mereka yang memperolehinya untung di atas kerugian orang lain.

Sebaliknya, pelaburan dalam saham memberikan peluang untuk semua pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan dan kejayaan syarikat.

Inspirasi Daripada Pertemuan dengan Pemilik Cili Lado

Persoalan tentang cara bagaimana hendak kembangkan syarikat ini adalah hasil daripada pertemuan saya dengan seorang pemilik perniagaan yang mengusahakan sambal Minang di bawah jenama Cili Lado. Banyak perkara yang dibincangkan, termasuk strategi pengembangan perniagaan.

Saya juga tertarik dengan kisah beliau, yang sebelum ini terlibat dalam pembentukan dasar-dasar kerajaan.

Pengalaman beliau dalam bidang tersebut memberikan banyak capaian dan pengetahuan, tetapi atas sebab-sebab tertentu, beliau memilih untuk mengusahakan perniagaan.

Nampaknya beliau gembira dengan keputusan tersebut.

Benarlah mengetahui apa yang kita minat dan apa yang kita berkemampuan itu penting dalam nak memajukan diri.

Matlamat dan Pendekatan Berbeza dalam Pelaburan

Setiap orang mempunyai matlamat yang berbeza dalam bidang kewangan, modal yang berbeza, serta personaliti atau sikap yang berbeza dalam melabur.

Ada orang ingin mendapatkan pulangan dalam masa yang singkat, tetapi ini datang dengan risiko yang tinggi dan memerlukan usaha untuk memantau saham dengan lebih teliti.

Ada pula yang ingin melabur dengan santai dan tidak kisah menunggu lama, sesuai untuk pelaburan jangka sederhana atau panjang.

Ketika saya mula-mula menjadi remisier, minat yang mendalam mendorong saya untuk belajar kesemua teknik yang ada bagi mendapatkan gambaran keseluruhan tentang saham.

Setelah mendapatkan gambaran keseluruhan, semua teknik tu saya ajar kepada client, banyak yang dah ada dalam bentuk video dan saya letak dalam app mahersaham untuk client.

Namun dah beberapa tahun berlalu, saya memilih untuk ajar kepada klien saya satu teknik yang mudah difahami dan diaplikasikan.

Ini membantu mengurangkan kekeliruan dan membolehkan kami fokus mengasah teknik tersebut.

Namun, ada juga teknik-teknik tertentu yang hanya sesuai digunakan dalam situasi tertentu.

Sebagai contoh, teknik dividen adalah sesuai ketika pasaran saham sedang jatuh teruk, di mana kita mencari saham-saham yang dijual pada harga diskaun akibat panik menjual.

Begitulah dapatan untuk hari ini.

Sesiapa yang berminat nak dapatkan cili lado daripada Shopee (saya tak sempat nak buat affiliate) atau tiktok, boleh klik link beliau

Shopee

shopee.com.my/cililado

Tiktok

Sesiapa yang minat nak mendalami ilmu bisnes melalui saham, atau pemilik perniagaan yang nak ada tempat kembangkan duit, boleh klik akauncds.com

Similar Posts