Struktur Pasaran Saham Terbuka (Bursa Malaysia)
Mungkin ada yang tidak begitu jelas berkaitan dengan ‘struktur pasaran saham terbuka’. Ada yang terlibat dalam dunia saham namun tidak dapat mendapat keseluruhan pandangan terhadap dunia pelaburan saham ini.
Sejak akhir-akhir ini, lebih ramai rakyat Malaysia yang celik berkaitan pasaran saham. Ini satu perkara yang positif dan ini juga salah satu matlamat penubuhan Mahersaham iaitu ingin mencelikkan lebih ramai rakyat Malaysia khususnya terhadap pelaburan saham.
Jadi dalam artikel ini, saya akan menerangkan secara dimanakah kedudukan pelabur, remisier, syarikat, broker dan Bursa Malaysia.
Gambaran Keseluruhan Pasaran

1. Syarikat
Disebalik syarikat ialah bisnes dan perniagaan yang dijalankan untuk mendapat keuntungan daripada produk ataupun servis yang ditawarkan. Terdapat banyak syarikat yang didaftarkan di Malaysia. Namun, untuk disenaraikan secara awam di Bursa Malaysia, syarikat perlu memohon dan terdapat kriteria yang melayakkan mereka untuk disenaraikan.
Untuk disenaraikan, ada proses yang dipanggil sebagai Initial Public Offering (IPO). Disinilah syarikat akan dapat modal yang dikumpul secara awam daripada pelabur-pelabur.
Antara contoh syarikat terkenal yang disenaraikan adalah : Petronas Dagangan Berhad, Nestle Berhad, UMW, Public Bank dan banyak lagi.
2. Bursa Malaysia
Bursa Malaysia (sebelum ini dikenal sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur, BSKL) adalah bursa saham utama di Malaysia.
Syarikat yang memerlukan dana, boleh menawarkan saham mereka untuk dibeli oleh orang awam dengan menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia. Disinilah para pelabur membeli dan menjual pemilikan saham.
Bursa Malaysia boleh dikatakan sebagai pengantara pelabur dan juga syarikat.
3. Broker
Istilah ‘broker’ dalam pasaran pelaburan saham merujuk kepada mana-mana syarikat berdaftar yang menjadi pengantara pelabur dan juga Bursa Malaysia.
Pelabur tidak boleh membeli pemilikan saham secara terus daripada Bursa Malaysia. Proses membeli dan menjual saham di Bursa Malaysia perlu melalui syarikat pengantara yang digelar sebagai ‘broker’.
Syarikat inilah yang akan menyediakan platform untuk kita berjual beli saham.
Antara Syarikat Broker/ Investment Bank yang terdapat di Malaysia ialah Malacca Securities Sdn Bhd (Mplus), Maybank Investment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad dan beberapa lagi.
4. Dealer/Remisier
Untuk membuat pembelian saham, pelabur perlu terlebih dahulu mempunyai akaun CDS. Pelabur boleh membuka akaun CDS melalui mana-mana syarikat broker atau investment bank yang berdaftar. Proses ini akan diuruskan oleh Remisier ataupun Dealer yang mewakili syarikat Broker.
Seperti saya, Maher Alias merupakan Remisier Berlesen yang berdaftar untuk Broker Mplus. Untuk menjadi dealer atau remisier, perlu mempunyai lesen yang disahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Suruhanjaya Sekuriti inilah yang akan memantau dari segi undang-undang segala pergerakan dalam dunia pelaburan di Malaysia.
Beza antara Dealer dan Remisier pula adalah, Dealer akan dibayar gaji secara tetap oleh syarikat broker manakala Remisier pula lebih independent, komisyen berdasarkan jumlah trade yang dilakukan oleh pelabur yang mendaftar dibawah mereka.
5. Pelabur
Pelabur inilah orang awam yang berjual beli saham di pasaran Bursa Malaysia. Untuk menjadi pelabur, anda perlu mempunyai akaun CDS yang boleh didaftar di akauncds.com
Kesimpulan
Mungkin ramai yang tidak tahu secara keseluruhan keadaan pasaran di Malaysia khususnya. Jadi, dengan mengetahui gambaran tentang pasaran ini, kita akan faham bahawa pelaburan saham di Bursa Malaysia ini adalah dilindungi dan selamat.
Kita juga boleh terhindar daripada di ‘scam’ oleh golongan tidak bertanggungjawab.