|

Siapakah Ahli Lembaga Pengarah Syarikat?

Di bawah Akta Syarikat 1965, setiap syarikat mempunyai Pengarah-Pengarah yang membentuk lembaga pengarahnya. Ahli Lembaga Pengarah syarikat ini merupakan individu (lelaki atau perempuan) yang dilantik oleh pemegang saham untuk satu tempoh tertentu.

Jika anda masih keliru dengan jenis-jenis perniagaan yang ada di Malaysia, boleh rujuk disini.

Ahli-ahli Lembaga Pengarah adalah bertanggungjawab dari segi undang-undang untuk mentadbir syarikat yang berkenaan. Mereka bertindak sebagai pemegang amanah dan ejen syarikat untuk berurusan dengan pihak luar dan mempunyai kuasa untuk menguruskan syarikat.

Adalah menjadi tugas mereka untuk melantik Ketua Eksekutif atau Pengurus Utama untuk menjalankan urusan harian. Tetapi perkara-perkara yang penting dan tertentu harus dirujuk dan diputuskan oleh Lembaga Pengarah.

Kategori Pengarah

Anda mesti pernah mendengar jawatan seperti pengarah eksekutif, pengarah urusan, pengarah bebas bukan eksekutif dan pengarah bukan eksekutif. Penahkah anda terfikir apa perbezaan antara jawatan pengarah ini dan apa bidang tugas mereka?

Ahli Lembaga Pengarah Bank Islam Malaysia Berhad

Pengarah Eksekutif dan Bukan Eksekutif

Seorang pengarah eksekutif biasanya dilantik daripada kalangan pengarah-pengarah dan memegang jawatan bergaji dengan syarikat. Sesetengah syarikat melantik kakitangan eksekutifnya daripada kumpulan pengurusan atasan menjadi pengarah, di samping menjawat jawatan pengarah eksekutif.

Bagi pengarah bukan eksekutif pula biasanya tidak terlibat dengan urusan harian syarikat, tetapi bertanggungjawab bersama-sama dengan pengarah-pengarah lain dalam merangka dan melaksana polisi syarikat.

Mereka mempunyai hak dan menanggung liabiliti yang sama seperti pengarah-pegarah lain walaupun tidak memegang jawatan bergaji dan tidak terlibat dalam urusan harian syarikat.

Pengarah Urusan

Pengarah urusan dilantik oleh lembaga pengarah di bawah peruntukan Perkara-perkara Persatuan syarikat. Perkara 91 hingga 93 Jadual A misalnya memberi kuasa kepada lembaga pengarah untuk melantik pengarah urusan.

Lembaga pengarahlah yang memutuskan mengenai perlantikannya dan menetapkan terma-terma dan syarat-syarat perjawatannya dan menetapkan juga takat kuasa yang akan diserahkan kepadanya.

Perlantikannya boleh dibatalkan dan kuasanya pula boleh dipinda dan diubah. Pengarah urusan tidak tertakluk kepada persaraan secara giliran kerana ia tertakluk kepada kontrak perkhidmatan dalam tempoh yang ditetapkan.

Pengarah Bersekutu

Biasanya pengarah bersekutu dipilih daripada kalangan eksekutif dalam kumpulan pengurusan atasan. Pemilihan seseorang menjadi pengarah bersekutu bertujuan untuk bertindak sebagai pelapis kepada pengarah-pengarah yang ada dan dilatih sebagai persediaan menganggotai lembaga pengarah di masa hadapan. Status pengarah bersekutu dijelaskan oleh perkara 94 Jadual A seperti yang berikut:

“Pengarah-pengarah boleh dari semasa ke semasa melantik mana-mana orang menjadi pengarah bersekutu dan boleh dari semasa ke semasa membatalkan perlantikan berkenaan. Pengarah-pengarah boleh menetapkan, menentukan dan mengubah kuasa-kuasa, kewajipan dan saraan mana-mana orang yang dilantik itu, tetapi seseorang yang dilantik itu tidak boleh dikehendaki untuk memegang apa-apa syer untuk melayakkannya untuk dilantik atau mempunyai apa-apa hak untuk hazir dan mengundi pada mana-mana mesyuarat pengarah-pengarah melainkan jika dijemput dan dengan kebenaran pengarah-pengarah.”

Pengarah Gilir atau Ganti

Pengarah gilir atau ganti hanya boleh dilantik jika terdapat kuasa untuk berbuat demikian dalam Perkara-perkara Persatuan syarikat. Perkara 82, Jadual A memberikuasa kepada mana-mana pengarah dengan kelulusan pengarah-pengarah lain, untuk melantik mana-mana orang sebagai pengarah gilir atau ganti untuk bertindak atas kedudukannya dalam tempoh yang difikirkannya patut.

Memandangkan pengarah gilir atau ganti termasuk dalam definisi seksyen 4 maka ianya bertanggungan secara sendiri ke atas semua tindakannya dan tertakluk kepada obligasi statutori sebagai seorang pengarah. Butir-butir diri dan jawatannya perlu dimasukkan dalam Daftar Anggota-anggota, Penyata Tahunan dan Borang 49, dan difailkan kepada Pendaftar Syarikat.

Pengarah gilir atau ganti juga perlu membuat perakuan berkanun dalam Borang 48A sebelum perlantikannya. Biasanya Pengarah gilir atau ganti tidak layak untuk menuntut apa-apa fee daripada syarikat kerana ia merupakan perkiraan persendirian antaranya dengan pengarah yang melantiknya sebagai ganti atau gilir. Suatu borang perlantikan yang ditandatangani oleh pengarah yang melantiknya perlu dibentangkan pada mesyuarat lembaga pengarah untuk kelulusan pengarah-pengarah yang lain. Begitu juga dalam membatalkan perlantikannya prosedur yang sama perlu diikuti.

Taggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pengarah amat besar. Bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa, mereka perlu mengamalkan penguasaan dan pengurusan korporat (corporate governance).  Seterusnya kami akan terangkan pula mengenai fungsi dan tanggungjawab ALP.


Anda newbie dalam saham?Nak belajar tentang saham? Nak tahu lebih lanjut? Tapi tak tahu nak mula dari mana? Jangan risau hubungi kami sekarang!!!

https://app.mahersaham.com/chat

https://app.mahersaham.com/chat

Rujukan: Rodzi.com

Similar Posts