|

Pelaburan Dan Simpanan Di Tabung Haji

Pelaburan dan simpanan di Tabung Haji

Pelaburan dan simpanan di Tabung Haji merangkumi ekuiti urusniaga, ekuiti dividen, sekuriti hutang, pembiayaan, sewaan, pasaran wang dan instrumen lain.

Rekod mencatatkan sebanyak  RM73 bilion deposit daripada 9 juta pendeposit telah diuruskan oleh Tabung Haji.

Jika kita imbas kembali, baru-baru ini  telah diisytiharkan bahawa pembayaran hibah sebenarnya telah melanggar akta Tabung Haji sendiri.

Ini kerana, akaun Tabung Haji pada 2017 yang dibentangkan di Parlimen menunjukkan jumlah aset keseluruhan sebanyak RM70.3 bilion dan jumlah liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.

Laporan akaun Tabung Haji pada 2017 juga menunjukkan defisit sebanyak RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Laporan Parlimen Telah Disangkal

Walaubagaimanapun, laporan parlimen telah disangkal oleh hujah yang mengatakan bahawa Tabung Haji menggunakan kaedah pengiraan nilai aset boleh direalisasi berdasarkan nilai semasa.

Iaitu, untuk 2017, nilai aset boleh direalisasi adalah RM74.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM74.4 bilion. Lebihan aset sebanyak RM373 juta.

Untuk 2016 pula, nilai aset boleh direalisasi adalah RM69.1 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM68.4 bilion Lebihan aset sebanyak RM701 juta.

Manakala 2015, nilai aset boleh direalisasi adalah RM64.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM63.3 bilion Lebihan aset sebanyak RM1.4 bilion.

Tidak Mengecewakan Hasrat Pendeposit

Tabung haji tidak pernah mengecewakan hasrat untuk pendeposit yang layak menunaikan haji.

Disebabkan itulah, pendeposit masih kekal setia menyimpan di Tabung Haji kerana organisasi ini telah banyak berjasa kepada para pendeposit yang ingin menunaikan Haji.

Walaupun selepas pengumuman hibah 2018, pendeposit tetap memberikan keyakinan sepenuhnya kepada Tabung Haji.

Bilangan seramai 133,000 pendeposit baharu juga bertambah dan jumlah deposit baharu adalah sebanyak RM83 juta.

Bagi tempoh April hingga Jun 2019  selepas pengumuman hibah pada 5 April 2019, Tabung Haji mencatatkan pertambahan pendeposit baharu yang melebihi 46,000 orang.

Ini semua hasil pemulihan dan penstrukturan semula Tabung Haji.

Selain itu, tiada pula berita melaporkan pendeposit mengeluarkan semua simpanannya sehingga Jun 2019.

Jadi, adakah isu Tabung Haji dipolitikkan?

Persoalan Yang Timbul

Adakah keputusan kerajaan menjual aset bernilai 19.9 bilion kepada SPV perlu dikaji semula sedangkan defisit hanya RM4.1 bilion?

Mengapa keputusan audit negara berbeza dengan kenyataan Menteri Agama? Kenapa tidak didedahkan oleh Menteri?

Walau apa pun yang sedang melanda Tabung haji mutakhir ini, ianya bakal berakhir tidak lama lagi.

Seterusnya, bagaimanakah pemulihan yang dilaksanakan ke atas Tabung Haji?

Ketika membuat kenyataan pengeluaran RM3 bilion kali ini menyamai jumlah pengeluaran sebelum ini, kenapa dividen semakin berkurangan?

Kelebihan Melabur di Tabung Haji

Melabur di Tabung Haji memang ada kelebihannya.

Selain berpeluang menunaikan haji, pendeposit yang beragama Islam tidak perlu risau kerana instrumen kewangan yang digunapakai adalah mematuhi kehendak syara’.

Tentunya pendeposit memperolehi kelebihan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat sana.

Kalaulah hibah yang didambakan oleh pendeposit, harapan tersebut bukanlah merupakan kelebihan melabur di Tabung Haji lagi buat masa ini kerana pulangannya tidak lagi konsisten seperti dahulu.

Inisiatif kerajaan untuk memperkasa Tabung Haji

Ketika tampuk pemerintahan telah bertukar kepada kerajaan baru, banyak kontroversi yang cuba dikaitkan dengan Tabung Haji.

Dikatakan bahawa kerajaan sekarang berusaha untuk membersihkan tampuk kepimpinan daripada dicemari oleh anasir-anasir jahat yang tidak diingini.

Jika kepincangan ini benar-benar terjadi kepada Tabung Haji sekalipun,  kita semua hendaklah sama-sama mendoakan agar segala permasalahan yang melanda institusi ini segera menemukan solusinya.

Harapan pendeposit tidak lain tidak bukan hanya untuk melihat institusi ini kekal utuh di persada dunia.

Kesimpulan

Jangan mudah serkap jarang!

Tiada siapa mahukan institusi yang diberkati ini runtuh sama sekali.

Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan adil dan saksama.

Kita kena beri peluang kepada kerajaan walaupun manifesto lain belum dapat ditunaikan sepenuhnya.

Tanggungjawab yang digalas oleh kerajaan akan menentukan halatuju dan masa depan Tabung Haji.

Jika masih tiada perubahan, penggal berikutnya, jangan salah undi!

 

 

Similar Posts