Pasaran Menurun? Fokus Kaunter Dividen?
Dalam keadaan pasaran yang tidak menentu dan menurun ke bawah ini, pelabur tertanya-tanya, apakah yang patut dilakukan? Adakah perlu menjauhi pasaran? Atau masih terdapat kaunter dan syarikat berpotensi yang boleh dicari ketika pasaran merudum? Boleh ke fokus syarikat yang beri dividen?
Saham adalah salah satu bentuk pelaburan yang popular di kalangan pelabur. Terdapat pelbagai strategi pelaburan yang boleh digunakan untuk mencapai matlamat kewangan, dan salah satu daripadanya ialah melabur dalam syarikat yang membayar dividen.
Dividen merupakan sebahagian daripada keuntungan syarikat yang dibahagikan kepada pemegang saham. Jadi, apakah kepentingan untuk memberi tumpuan kepada syarikat yang secara konsisten membayar dividen ketika pasaran sedang menurun?

Apa itu Dividen?
Sebelum kita meneruskan pembahasan, penting untuk memahami apa itu dividen. Dividen adalah bayaran tunai daripada keuntungan syarikat yang dibahagikan kepada pemegang saham. Biasanya, dividen dibayar secara berkala. Boleh jadi setahun sekali. Ada juga yang beri setiap suku tahun. Manakala jumlahnya bergantung kepada prestasi syarikat dan mengikut kepada keputusan yang dibuat oleh syarikat atau ‘dividen policy’ yang telah ditetapkan oleh syarikat.
Keuntungan daripada pelaburan dalam saham yang membayar dividen adalah pemegang saham menerima pendapatan pasif tambahan selain daripada potensi kenaikan harga saham itu sendiri (capital gain).
Kelebihan Saham yang Memberi Dividen
Pelabur tertarik untuk melabur dalam saham yang membayar dividen kerana beberapa sebab berikut:
Pulangan Stabil
Salah satu kelebihan utama saham yang membayar dividen ialah ia menyediakan pulangan yang stabil. Walaupun harga saham mungkin turun naik semasa pasaran tidak menentu, dividen tetap dibayar secara berkala. Ini memberikan kestabilan kepada pemegang saham dan membantu untuk menangani ketidakstabilan ekonomi.
Kewangan Syarikat Baik
Syarikat yang mampu membayar dividen secara konsisten menandakan prestasi kewangan yang kukuh. Ini bermakna syarikat tersebut mempunyai aliran tunai yang mencukupi untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham. Pemilihan syarikat yang kewangannya mantap dapat memberi keyakinan kepada pelabur mengenai pelaburan mereka.
Pelaburan ‘Selamat’
Pelaburan dalam saham yang membayar dividen boleh menjadi cara yang baik untuk melabur secara berhemat. Pemegang saham dapat menggunakan pendapatan dividen untuk melabur semula dalam saham yang sama atau mengembangkan portfolio mereka dengan melabur dalam saham lain.
Harga Diskaun
Boleh jadi kebanyakan syarikat akan mengalami kejatuhan mengikut kepada sentimen semasa walaupun sebenarnya syarikat tersebut tidak terlalu terkesan dengan ekonomi semasa dan kewangan syarikat masih dalam keadaan yang baik. Untuk syarikat yang memberi dividen, saham yang dibeli bukan sahaja mempunyai potensi untuk naik dari segi harga, namun dividen yang diberi juga akan lebih baik kerana dividen diberikan mengikut bilangan unit saham yang dimiliki.
Dengan membeli saham ketika harga jatuh, bilangan unit saham yang dibeli boleh dimiliki dengan bilangan yang lebih berbanding ketika harga tinggi.

Mencari Kaunter Dividen
Untuk mencari kaunter atau syarikat yang memberi dividen yang berkualiti, beberapa perkara perlu diambil kira:
Penyelidikan Asas
Lakukan penyelidikan yang teliti tentang syarikat-syarikat yang berpotensi. Tumpukan kepada aspek seperti sejarah dividen syarikat, dividen yield, prestasi kewangan, industri di mana syarikat itu beroperasi, dan strategi pengurusan.
Pemberian Dividen Berterusan
Pilih syarikat yang secara konsisten membayar dividen selama beberapa tahun. Kecekapan dalam memberikan dividen menunjukkan kesihatan kewangan syarikat dan komitmen kepada pemegang saham.
Analisa Risiko
Meskipun saham yang membayar dividen boleh memberikan kestabilan, ia tetap mempunyai risiko pelaburan seperti saham lain. Analisis risiko yang baik perlu dijalankan untuk memahami risiko-risiko yang mungkin terlibat.
Pelaburan Jangka Panjang
Pelaburan saham yang membayar dividen adalah pelaburan jangka panjang yang memerlukan kesabaran. Menjadi seorang rakan jangka panjang syarikat yang baik dapat memberikan faedah yang lebih baik.
Kesimpulan
Pelaburan dalam saham yang memberi dividen adalah salah satu strategi yang baik untuk mencapai pendapatan pasif dan stabil. Walaupun pasaran sedang menurun, pendapatan dividen tetap boleh memberikan sokongan kewangan kepada pelabur. Namun, seperti semua bentuk pelaburan, penyelidikan dan analisis yang teliti diperlukan sebelum membuat keputusan pelaburan. Dengan memberi tumpuan kepada syarikat yang secara konsisten membayar dividen dan mematuhi prinsip-prinsip asas pelaburan, pelabur boleh meningkatkan peluang mencapai matlamat kewangan mereka dalam jangka masa yang panjang.