Najib, Arul Kanda Dibebaskan Dalam Kes Pindaan Laporan Audit 1MDB

Mahkamah Tinggi pada 3 Mac membebaskan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dalam perbicaraan pindaan laporan audit 1MDB.
Hakim Mahkamah Rayuan Mohamed Zaini Mazlan, yang mengetuai kes itu di Mahkamah Tinggi, memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Najib.
Beliau bersetuju dengan pembelaan Najib bahawa tiada kaitan “sebab dan akibat” antara pindaan yang dibuat dalam laporan audit pertama dan suapan yang dikatakan diterima.
“Tiada bukti untuk membuktikan secara jelas bahawa tertuduh kedua (Najib) telah mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskannya daripada liabiliti sivil dan jenayah. Dia hanya bimbang laporan itu akan diputar belit secara politik.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan bagaimana perkara yang dikeluarkan atau dipinda boleh menimbulkan liabiliti sivil atau jenayah kepada Najib. Pada pendapat saya, perkara yang dikeluarkan atau dipinda daripada laporan audit terdahulu tidak akan menimbulkan liabiliti jenayah atau sivil kepada tertuduh. Pindaan seperti yang dinyatakan oleh Ketua Audit Negara adalah wajar.
“Saya juga perhatikan perkara yang dipinda atau dikeluarkan itu diketahui Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan dibincangkan secara terbuka. Oleh itu, saya dapati anggapan di bawah Seksyen 23 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak boleh digunakan kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan suapan,” kata hakim itu.
“Oleh itu dia (Najib) dibebaskan dan dilepaskan,” tambah Zaini.
Sementara itu, hakim juga melepas dan membebaskan Arul Kanda kerana berpuas hati bahawa bekas presiden 1MDB itu telah membuat “penyataan yang benar dan penuh” bagi semua perkara yang diajukan.
Dia telah diberikan sijil tanggung rugi atau certificate of indemnity di bawah Seksyen 63 (3) Akta SPRM. Ini adalah kes pertama di mana seorang tertuduh bersama ditawarkan sijil tanggung rugi di bawah seksyen Akta ini.
“Sijil ini akan menjadi penghalang kepada semua prosiding undang-undang terhadapnya berhubung perkara yang timbul daripada pertuduhan dalam kes ini,” kata hakim.
Isu utama yang menyebabkan Najib dibebaskan ialah keterangan bekas Ketua Audit, Tan Sri Ambrin Buang bahawa pindaan itu dibenarkan oleh beliau.
“Jadi, tidak ada [pindaan] yang tidak dibenarkan. Tujuan saya hadir di hadapan PAC adalah untuk menjelaskan mengapa tiada gangguan dalam erti kata ia dilakukan oleh orang lain, di luar kawalan saya. Dan saya melakukan semua pindaan dengan pertimbangan sewajarnya terhadap justifikasi dan setiap cadangan khusus untuk meminda bahagian tertentu laporan itu,” Ambrin memberi keterangan.
Zaini berkata pelantikan Ketua Audit Negara dan keselamatan jawatannya adalah sama seperti hakim kerana ia dijamin di bawah Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menambah bahawa Ketua Audit Negara boleh melakukan tugasnya tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Ketua Audit Negara pada pemerhatian saya adalah seorang yang sangat berprinsip dan tidak mengarut. Dia akan menjawab apa-apa soalan yang diajukan kepadanya dengan tepat.,” kata hakim itu.
Zaini berkata pindaan yang dibuat kepada laporan audit terdahulu adalah berdasarkan pertimbangan dan persetujuan Ketua Audit Negara.
“Tiada bukti bahawa dia (Ambrin) dipaksa menghadiri mesyuarat atau membuat perubahan kepada laporan itu.
“Beliau mengekalkan budi bicara untuk menerima sebarang pindaan yang dicadangkan kepada laporan terdahulu,” tambah hakim itu.
Mahkamah menambah bahawa kira-kira 65 perkara telah dibangkitkan semasa mesyuarat 24 Feb 2016, dan Arul Kanda berkata beliau hanya boleh membuat cadangan, tetapi Ketua Audit Negara yang boleh memutuskan sama ada menerima cadangannya atau sebaliknya.
“Pada pandangan beliau (Arul Kanda), perubahan yang akhirnya dibuat adalah wajar kerana ia dibenarkan oleh dokumen dan maklumat yang beliau berikan. Ketua Audit Negara juga bersetuju dengan fakta ini,” kata Zaini.
Mahkamah memaklumkan bahawa Ketua Audit Negara hanya kecewa kerana dia terpaksa membuat semula laporan itu.
Najib, 69, didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai pegawai awam atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu dalam mengubah laporan audit 1MDB yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara, yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada Mac 2016.
Pindaan itu didakwa dilakukan supaya tiada tindakan boleh diambil terhadapnya oleh Parlimen.
Antara perkara yang dikeluarkan termasuk kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB, dan sebahagian daripada penyata kewangan 1MDB 2014.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Hukuman jika sabit kesalahan
Jika sabit kesalahan, Najib boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun, dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan itu, yang mana lebih tinggi.
Pada masa ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan telah dikenakan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Manakala Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib.
Beliau menjadi saksi pada Jun lalu selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggilnya sebagai saksi. Soalan diajukan kepadanya semasa pemeriksaan utama oleh mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang bertindak sebagai timbalan kanan pendakwa raya (DPP).
Selain Arul Kanda, 15 saksi pendakwaan terkenal lain yang memberi keterangan termasuk Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, yang pernah menjadi ketua setiausaha kerajaan, bekas Ketua Audit, Ambrin dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas setiausaha sulit utama kepada Najib Tan Sri Shukry Mohd Salleh, dan bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh.
Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019, dan pihak pendakwaan menutup kesnya pada 7 Sept tahun lepas.
Ketika ditemui selepas prosiding, DPP Kamal Bahrin berkata pihak pendakwaan akan meneliti keputusan itu dan berunding dengan peguam negara yang juga pendakwa raya dalam kes itu.
Notis rayuan perlu difailkan dalam tempoh 14 hari, sekiranya pihak pendakwaan ingin memfailkan rayuan. – The Edge