Muhyiddin Mengaku Tidak Bersalah Menerima RM5 Juta Daripada Bukhary Equity

Bekas perdana menteri dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa sekali lagi pada 13 Mac lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pengubahan wang haram RM5 juta.
Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan hakim Rozilah Salleh.
Rozilah kemudiannya bersetuju dengan syarat jaminan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di mana Muhyiddin telah didakwa minggu lepas. Ikat jamin yang ditetapkan di Kuala Lumpur ialah RM2 juta, yang dibayar oleh Muhyiddin bagi enam pertuduhan terdahulu. Ini bermakna bekas PM itu tidak perlu membayar jaminan untuk pertuduhan di Shah Alam.
Didakwa Menerima Wang Daripada Aktiviti Haram
Dia didakwa menggunakan kuasanya sebagai presiden parti komponen PN, Parti Pribumi Bersatu untuk menerima RM5 juta daripada aktiviti haram dari Bukhary Equity Sdn Bhd pada 7 Jan 2022, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank parti itu di cawangan Amcorp Mall.
Anggota Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Bagi pertuduhan Amla, dia berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah hasil haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. Muhyiddin diwakili peguam Datuk K Kumaraendran.
Hakim kemudian menetapkan 26 Mei untuk sebutan kes.
Hadir Disambut Penyokong
Muhyiddin hadir di mahkamah kira-kira jam 8.20 pagi dan disambut oleh beberapa penyokong. Pintu masuk utama mahkamah ditutup dan hanya media dan peguam dibenarkan masuk.
Sejurus selepas pertuduhan dibacakan, Muhyiddin dilihat meninggalkan kompleks mahkamah bersama rombongannya.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Empat daripada pertuduhan itu adalah kerana rasuah dan dua lagi adalah melibatkan pengubahan wang haram.
Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa kerana menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk memperoleh suapan bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, dengan nilai RM232.5 juta daripada entiti korporat iaitu tiga syarikat dan seorang individu.
Dia berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun bagi setiap pertuduhan dan saman sehingga lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang mana lebih tinggi.
Dua lagi pertuduhan pengubahan wang haram adalah melibatkan penerimaan RM195 juta hasil wang haram daripada aktiviti haram dari Bukhary Equity. Ini berlaku pada 2021 dan 2022.
Bekas Perdana Menteri Kedua Didakwa
Muhyiddin adalah bekas perdana menteri kedua yang mempunyai tuduhan jenayah terhadapnya. Yang pertama ialah Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang kini dipenjarakan kerana perbicaraan SRC International Sdn Bhd.
Muhyiddin, 75, yang dipecat oleh Umno kerana berani bersuara menentang Najib dan keraguannya dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), adalah salah seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu yang telah menyertai gabungan Pakatan Harapan pada 2018 untuk menjatuhkan Barisan Nasional.
Pada tahun 2020, Muhyiddin menjadi individu penting dalam “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan gabungan baharu yang dipanggil Perikatan Nasional mengambil alih sebagai kerajaan. Seterusnya menjadikan Muhyiddin menjadi perdana menteri ke-8
Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertarikh 15 Feb 2023, Bukhary Equity ialah syarikat 99% dimiliki oleh konglomerat Melayu Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, manakala baki 1% dipegang oleh Syarifah Zarah Syed Kechik.
Baca Artikel Lain Berkaitan di Mahersaham
Cara Semak CCRIS Online Dengan Mudah
Petronas Merekodkan Keuntungan Tertinggi Sebanyak RM101.6 Bilion
Apa Itu Limit Up dan Limit Down
Nak jual beli saham tetapi belum ada akaun CDS?
Apa lagi, jom daftar akaun CDS bersama Mahersaham dan anda boleh join kelas khas untuk klien Mahersaham secara percuma.