Menuju Kebebasan Kewangan
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk bersara dengan kewangan yang cukup.
KWSP menjelaskan bahawa, 70% ahli yang mengeluarkan simpanan mereka pada usia 55 tahun menghabiskan wang berkenaan kurang daripada 10 tahun selepas bersara.
Sementara itu, jangka hayat pada tahun 2019 adalah 73 tahun untuk lelaki dan 79 tahun untuk wanita.
Sekiranya rakyat Malaysia mengharapkan duit simpanan KWSP sahaja, ianya tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan selepas bersara.
Hal ini kerana, jumlah yang disimpan tidak dapat bertahan.
Boros merupakan punca MAJORITI pencarum KWSP miskin pada usia 61 hingga 75 tahun.
Pekerja perlu memikirkan alternatif untuk simpanan masa tua
Setiap pekerja atau individu perlu merancang perancangan kewangan demi masa hadapan.
Ianya bertujuan supaya anda tidak kesempitan pada penghujung usia nanti.
Pekerja juga perlu memikirkan mengenai kecukupan simpanan selepas bersara.
Dan antara matlamat tertinggi dalam pengurusan kewangan ialah menuju kebebasan kewangan.
Kebebasan kewangan adalah pelan untuk jangka masa panjang
Apabila anda sudah tidak dibelenggu dilema kewangan dalam urusan harian, ini bermakna anda sudah mencapai kebebasan kewangan.
Kebebasan kewangan juga bukan bermaksud bebas daripada membuat pembiayaan.
Pada zaman sekarang, tidak realistik untuk menghapuskan baki pembiayaan sepenuhnya dalam kehidupan.
Jarang sekali kita dengar orang beli rumah dan kereta secara tunai. Bukan tidak ada tetapi jarang.
Kebebasan kewangan juga dikaitkan dengan pilihan untuk tidak bekerja demi mendapatkan wang, kerana wang yang akan bekerja untuk anda.
Ini dipanggil sebagai ‘pasif income‘ yang selalunya datang daripada pelaburan dan royalti.
Kita memilih kebebasan kewangan adalah untuk perancangan pelan pada jangka panjang, lebih 10, 30,50 tahun pada masa akan datang.
Tak salah untuk bersusah sedikit pada waktu sekarang demi kesenangan pada masa depan.
Jika orang lain sudah memulakan langkah mereka menuju kebebasan kewangan, mengapa anda tidak mulakan lagi?
Rasa terlambat?
Better late than never! Mana yang bagus, mula berubah membuat perancangan kewangan ataupun tiada apa-apa tindakan hanya menunggu durian runtuh dari langit?
Jadi, pilihan di tangan anda sendiri.
One day or Day one?
Orang lain tidak boleh mengubah dan bantu anda melainkan anda sendiri yang berusaha untuk memajukan diri sendiri.
Langkah anda tidak lain tidak bukan adalah untuk jaminan masa depan anda dan anak-anak tanpa perlu kebergantungan pada bantuan orang lain.
Tips menuju kebebasan kewangan
Terdapat banyak pandangan dan nasihat yang boleh kita dapatkan pada zaman serba canggih ini.
Ini menunjukkan kesedaran kebebasan kewangan meningkat daripada pelbagai golongan tak kira tua, muda, kaya miskin.
Pelbagai sifu dan cikgu yang berpengalaman berkongsi kepakaran mereka semata-mata mahu melihat rakyat Malaysia lebih celik dengan pengurusan kewangan.
Ambil nasihat tersebut dan ukur di baju sendiri.
Adakah anda sesuai dengan nasihat tersebut.
Sebab itu nasihat yang diberikan tidak fokus pada satu sahaja kerana ia memberi peluang kepada anda untuk mencari yang manakah betul-betul sesuai dengan situasi anda.
Berikut merupakan beberapa tips bagi menuju kebebasan kewangan:
Memperbaiki rekod kredit
Sekiranya anda telah disenaraihitam oleh institusi-institusi kewangan di Malaysia, ini bermakna anda mempunyai rekod CTOS dan CCRIS yang buruk.
Ini bermaksud bank melihat anda sebagai seorang yang berpotensi untuk tidak membayar semula pembiayaan sekiranya anda memohon untuk membuat pembiayaan peribadi, rumah atau kenderaan.
Sebab itu, jangan marah jika semua bank menolak permohonan pembiayaan anda.
Pihak bank mempunyai sebab yang tersendiri.
Rekod kredit juga penting untuk anda ambil peduli, kerana ia memberi gambaran kedudukan dan kesihatan kredit anda.
Disebabkan itu, cantikkan semula rekod kredit anda dengan membayar semua baki pembiayaan dan bil yang tertunggak.
Selagi baki pembiayaan belum dibayar, anda masih lagi berada dalam senarai ‘blacklist’.
Bila rekod kredit cantik, barulah bank sayang betul tak?
Pembahagian pendapatan kepada nisbah 50:30:20
Apabila mendapat gaji, adakah anda membuat pembahagian terlebih dahulu ataupun belanja sahaja sebab hujung bulan dapat lagi gaji, betul ke?
Menurut saranan, daripada gaji yang diperolehi, 50% hendaklah digunakan untuk keperluan, 30% untuk kehendak dan 20% untuk simpanan.
Benar, jika anda tidak biasa dengan disiplin ini, anda akan merasakan betapa susahnya untuk konsisten mengamalkan tabiat ini.
Lebih-lebih lagi jika kita sebelum ini jenis berbelanja dahulu, baru menyimpan.
Tidak mengapa, berubah dengan perlahan-lahan tetapi konsisten.
Jika sebelum ini tidak berkesempatan untuk membuat simpanan, apa kata kali ini mula menyimpan rm100 sebagai permulaan.
Okaylah daripada tidak menyimpan langsung, betul tak?
Jika anda masih bujang, lagi mudah untuk anda menyimpan kerana anda tidak mempunyai komitmen berkeluarga.
Tapi, jangan lupa untuk berbakti dengan ibu bapa dan adik beradik walaupun anda belum berkahwin.
Nisbah ini hanyalah cadangan sahaja. Anda boleh ubah nisbah ini mengikut kesesuaian masing-masing.
Membuat pelaburan
Pernah tak anda mendengar ungkapan ‘RM1 hari ini tidak sama dengan RM1 pada 10 tahun lepas’?
ataupun RM 50 pada zaman dahulu boleh penuh troli dengan barang-barang tetapi zaman sekarang cukup untuk beli beras, minyak masak dan pencuci baju sahaja.
Inilah yang dinamakan sebagai inflasi dimana kuasa membeli anda sudah tidak sama dengan zaman dahulu disebabkan peningkatan harga barang.
Antara kepentingan membuat pelaburan adalah untuk melawan inflasi dimana kadar pulangannya adalah lebih tinggi dari kadar inflasi.
Kini, pelbagai instrumen pelaburan yang sedia ada dalam pasaran seperti deposit tetap (Fixed deposit), ASB, hartanah, saham, emas, bon atau sukuk, derivatif dan sebagainya.
Sebelum melabur, anda perlu mengenal pasti anda tergolong dalam kategori pelabur berisiko, neutral ataupun tidak sukakan risiko.
Kerana dalam pelaburan, anda kena ambil tahu risiko yang bakal dihadapi.
Jika anda baru berjinak-jinak dengan dunia pelaburan, disarankan supaya membuat pelaburan berisiko rendah terlebih dahulu seperti deposit tetap dan ASB.
Kemudian, beralih ke instrumen pelaburan yang tinggi risikonya untuk mendapatkan kadar pulangan yang lebih tinggi.
Yang penting, jangan sesekali terpedaya dengan skim cepat kaya.
Mana mungkin jaminan untung yang tinggi dengan modal yang sedikit dalam tempoh yang singkat.
Jika anda tidak tahu untuk mula, anda boleh hadiri kelas-kelas yang diadakan oleh sifu-sifu pelaburan untuk mendapatkan ilmu terlebih dahulu.
Gaya hidup yang bersederhana
Dengan kemunculan rangkaian sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter, trend yang dilihat pada masa kini ialah apabila menunjukkan gaya hidup yang mewah.
Contoh trend yang sedang hangat sekarang ini iaitu Boba milk tea.
Harga secawan bagi minuman ini lebih kurang RM10 secawan!
Kawal keinginan daripada terikut-ikut trend yang bermewah-mewahan.
Anda anggap ianya perkara kecil, kerana sekali beli hanya melibatkan bawah RM100, tetapi jika dikumpul, jumlahnya begitu besar sekali.
Jangan pandang remeh perkara yang membocorkan dompet kita walaupun kecil nilainya, namun nilainya akan meningkat jika dikira semula.
Tidak salah untuk memberi penghargaan kepada diri sendiri, namun pastikan setelah kita berjaya mencapai matlamat kita.
Misalnya, anda berjaya mengumpul RM10,000 dalam masa setahun, jadi anda reward diri anda dengan bercuti di Cameron Highlands.
Mengurangkan perbelanjaan hidup membantu anda dalam mencapai matlamat kebebasan kewangan dengan lebih cepat.
Anda perlu bijak menilai antara keperluan atau kehendak.
Lagi bagus jika anda mencatatkan segala transaksi duit keluar atau duit masuk.
Ini memudahkan anda bagi mengenal pasti bagaimanakah duit anda dibelanjakan.
Perlindungan medical card
Tidak dilupakan pengambilan insurans/takaful juga penting dalam menuju kebebasan kewangan.
Di Malaysia, kadar penembusan produk insurans konvensional dan takaful masih rendah dan jauh daripada sasaran yang ditetapkan.
Menurut Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata, masih ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai nilai perlindungan yang mencukupi untuk menampung standard kehidupan sedia ada sekiranya penjana utama pendapatan meninggal dunia.
Setiap rakyat Malaysia digalakkan untuk memperuntukkan sejumlah duit bagi mencarum produk perlindungan bagi mengurangkan beban sekiranya dilanda musibah seperti kemalangan, bencana, kebakaran, penyakit kritikal dan kematian.
Insurans/takaful melindungi kewangan anda daripada ‘koyak’ teruk.
Anda ada dua pilihan sama ada mahu menjual tanah pusaka bagi menampung kos rawatan hospital ataupun mendapatkan medical card dan mencarum secara bulanan?
Selain itu, bagi yang bekerja di syarikat, anda juga mencarum dalam Perkeso sebagai perlindungan sewaktu bekerja.
Jangan anda tidak ambil tahu manfaat yang diperolehi hasil dari mencarum Perkeso/Socso.
Kesimpulan
Kadang-kadang bukan mudah untuk melaksanakan matlamat kebebasan kewangan secara sendirian.
Anda perlukan bimbingan supaya langkah yang diambil sesuai dengan situasi kewangan anda.
Anda disarankan untuk mendapatkan khidmat profesional dalam perkara pelaburan, persaraan, cukai, aliran tunai keluar masuk, pendidikan dan sebagainya.
Ingat, jika anda ingin mendapatkan khidmat mereka pastikan mereka berdaftar dengan badan berautoriti seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Anda juga perlu lebih berusaha dan berdisiplin dalam mencapai matlamat kebebasan kewangan.
Jika anda mahu bersara pada umur 45 tahun, jadi anda usahakan sedaya mungkin supaya anda boleh bersara awal.
Jangan mudah mengalah kerana bukan senang untuk senang dan bukan susah untuk perkara yang susah.
Setiap perubahan pasti menemui kesulitan pada permulaan tetapi mudah apabila menghampiri pengakhiran.