Liberalisasi Sektor Peruncitan Elektrik
Liberalisasi Sektor Peruncitan Elektrik
Liberalisasi Sektor peruncitan Elektrik merupakan suatu inisiatif kerajaan dalam membuka ruang kepada pengguna untuk memilih pembekal elektrik baharu.
Umumnya, liberalisasi industri tenaga telah diamalkan bukan sahaja dalam sektor elektrik tetapi juga dalam sektor-sektor lain.
Kajian ke atas liberalisasi sektor peruncitan elektrik ini sedang dijalankan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Kajian tersebut dijalankan untuk menentukan sama ada ianya akan menghasilkan tarif yang lebih berdaya saing.
Selain itu, usaha ini dilihat mampu menjadikan sektor elektrik lebih cekap dan kompetitif.
Sehingga kini, sektor transmisi dan pengagihan elektrik dikawal sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sebagai pembekal elektrik yang berpengalaman, TNB seharusnya tidak gusar sekiranya keberkesanan perkhidmatan sedia ada yang ditawarkan mampu ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Perkara ini dapat direalisasikan dengan menerapkan operasi yang mampan dan efisien serta penghantaran tenaga hijau melalui aplikasi teknologi yang bersesuaian.
TNB juga dilihat sangat komited dan memberi sokongan penuh terhadap agenda hijau nasional “national green agenda”.
Dalam Plan Induk Teknologi Hijau “Green Technology Master Plan” yang diperkenalkan, pengurangan terhadap penggunaan elektrik juga disasarkan sebanyak 15% pada tahun 2030 berbanding 2% sahaja.
Ini menunjukkan bahawa keperluan terhadap pasaran tenaga kerja juga akan meningkat selari dengan kemahiran inovasi dan kepakaran teknologi yang kian bertambah.
Cabaran Kepada Industri Elektrik?
Di sebalik apa jua cadangan itu pasti akan ada cabarannya.
Dalam menghurai isu ini, segala yang bersangkutan dengan soal ini tidak dapat tidak perlu diperhalusi.
Umum mengetahui bahawa elektrik di semenanjung dimonopoli oleh TNB. Walaupun akan ada pesaing, hanya tenaga elektrik semata-mata yang dibekalkan dan mustahil untuk ianya ditukar dengan tenaga lain seperti lampu minyak.
Ini kerana, elektrik adalah sumber tenaga yang menyalakan lampu, televisyen, radio dan lain-lain.
Persoalannya, adakah “elektrik” sumber tenaga yang dimonopoli?
Ya atau tidak, perkataan “monopoli” tidak lagi relevan dengan industri yang mengawal sesuatu produk atau sumber tenaga yang dihasilkan secara keseluruhan oleh mana-mana pembekal.
TNB dikatakan sebuah syarikat yang memonopoli industri elektrik kerana memiliki modal yang besar dan kemungkinan ianya sukar untuk syarikat kecil bertanding dengan syarikat gergasi tersebut.
Terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi sebelum syarikat kecil itu mampu bertanding.
Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut:
- memiliki modal yang besar;
- pengalaman yang cukup mantap untuk menguasai sesuatu bidang;
- penguasaan penuh terhadap punca janakuasa elektrik;
- mendapat perlindungan daripada kerajaan; dan
- kesetiaan pengguna.
“Kebaikan” atau “Keburukan”?
Ianya bergantung kepada faktor penawaran dan permintaan.
Kenaikan tarif elektrik hanya akan ditentukan dalam pasaran ini. Tiada lagi penetapan harga tarif pada kadar tertentu yang akan diumumkan oleh kerajaan melalui website.
Kemungkinan besar ianya akan menyebabkan kadar penetapan tarif selepas ini menjadi lebih tinggi dari kadar biasa.
Selain itu, kepada syarikat pembekal elektrik baharu, mungkin akan menanggung kos-kos lain seperti kos pengiklanan yang mana akan mengakibatkan keuntungan yang diperolehi tidak mencapai tahap yang optimum.
Namun begitu, tidak dinafikan bahawa liberalisasi ini juga mampu memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
Tetapi adakah benar pengurangan kos dalam segmen tertentu dapat dikurangkan dan industri tenaga khususnya pengeluar elektrik dapat beroperasi dengan lebih berkesan?
jawapannya, kita tunggu dan lihat!
Sekian.