|

Lavida Coin – 3 Perkara Anda Perlu Kaji Sebelum Terlibat

Pengenalan

Baru-baru ini, Datuk Seri Vida telah melancarkan matawang crypto-nya yang tersendiri yang diberi nama Lavida Coin. Katanya, beliau telah terlibat dalam pelaburan mata wang crypto sejak dua tahun yang lalu dan hasilnya amat menguntungkan.

Sebelum kita berhasrat untuk memiliki mata wang crypto Lavida Coin ini, eloklah sekiranya kita kaji terlebih dahulu perkara berkaitan matawang crypto dan teknologi disebaliknya.

Bitcoin, salah satu matawang Crypto yang paling popular pernah mencapai paras USD 19800 per bitcoin pada Desember 2017. Ia adalah kenaikan lebih 17000% jika dibandingkan dengan harganya pada tahun 2013. Namun, semenjak harga tertinggi itu, ia telah menyusut kepada USD 6700 per bitcoin pada waktu ini. Ini adalah kejatuhan lebih 66%.

Cryptocurrency dan Blockchain

Matawang Crypto atau “Cryptocurrency” adalah mata wang digital yang tujuan asalnya adalah sebagai medium pertukaran, sama seperti mata wang kertas. Namun, berbeza dengan wang kertas yang anda dapat lihat dan pegang, mata wang crypto hanya wujud di alam maya!

Ia menggunakan cryptografi (encryption) untuk melindungi dan mengesahkan setiap transaksi, selain mengawal pengeluaran unit matawang crypto yang baru. Dengan kata lain, bilangan unit mata wang crypto adalah terhad dan tidak boleh diubah kerana dilindungi cryptografi.

Blockchain pula adalah gabungan “blocks” yang digabungkan melalui cryptografi. Setiap block mempunyai “cryptograpic hash” kepunyaan block sebelumnya, data transaksi dan juga “timestamp”.

Dengan rekaan blockchain ini, data bagi setiap blockchain juga tidak boleh diubah. Ia dilihat sebagai teknologi yang sangat baik dalam merekod setiap transaksi diantara dua pihak kerana ia bersifat kekal dan mudah untuk disahkan.

lavida coin

Perbandingan Cryptocurrency dan Pelaburan Saham

Kami berpendapat bahawa sebelum terlibat dalam apa-apa jenis pelaburan atau produk kewangan seperti Lavida Coin, setiap orang haruslah mengkaji  3 aspek utama,

1. Hukum

Bagi yang beragama Islam, perkara pertama yang kita perlu kaji sebelum memulakan pelaburan adalah mengambil tahu status hukum produk kewangan tersebut. Sesuatu produk kewangan itu haruslah bebas daripada unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan maisir (judi).

Tiada masalah bagi pelaburan saham kerana kita sedia maklum bahawa setiap 6 bulan, Suruhanjaya Sekuriti akan mengeluarkan senarai saham-saham patuh syariah dan tidak patuh syariah. Tugas kita sebagai pelabur yang beragama Islam adalah untuk memiliki saham-saham yang patuh syariah sahaja.

Selain itu, Bursa Malaysia juga telah memperkenalkan Bursa Malaysia-i dimana ia merupakan platform perdagangan patuh shariah pertama di dunia. Di sini, pelabur boleh memilih untuk melabur hanya dalam saham-saham patuh shariah yang diniagakan di pasaran utama mahupun pasaran ACE melalui “Islamic Participating Organisation (islamic PO)”. Buat pengetahuan anda. Malacca Securities juga adalah salah satu daripada islamic PO. Buka akaun CDS islamic MPlus anda di sini.

Berbeza dengan Cryptocurrency, belum ada fatwa khusus yang dikeluarkan oleh mana-mana badan berkuasa di Malaysia untuk menentukan status halal atau haram matawang Crypto ini. Maka, kami berpendapat bahawa selagi belum ada hukum yang jelas mengenai mata wang ini, khususnya Lavida Coin, eloklah dijauhkan buat seketika.

2. Regulasi

Sebelum memulakan pelaburan, kita harus pastikan bahawa pelaburan atau produk kewangan tersebut adalah sah dan tidak salah disisi undang-undang. Ini adalah supaya kita tidak ditipu dan dilindungi undang-undang sekiranya perkara buruk berlaku.

Di Malaysia, kita ada Suruhanjaya Sekuriti dalam memantau aktiviti syarikat dan aktiviti perdagangan di Bursa Malaysia. Setiap transaksi ataupun aktiviti syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia haruslah tidak menyalahi undang-undang yang telahpun ditetapkan.

Berbeza dengan Cryptocurrency, tiada badan yang memantau dan anda tidak dilindungi undang-undang. Sekiranya anda ingin membeli Cryptocurrency, pastikan anda membuat kajian yang sangat mendalam terlebih dahulu. Ini supaya anda pasti bahawa skim yang anda ceburi adalah betul-betul penukaran matawang Crypto dan bukannya scam atau MLM yang menggunakan nama Cryptocurrency.

3. Risiko dan Pulangan

Tiada wang percuma di dunia ini. Setiap pelaburan datang dengan risiko. Kita sedia maklum bahawa saham adalah pelaburan yang berisiko tinggi. Begitu juga dengan Cryptocurrency. Ia juga adalah satu bentuk pelaburan berisiko tinggi dimana anda boleh mencapai keuntungan berganda-ganda.

Dalam apa jua pelaburan berisiko tinggi, pastikan anda hanya laburkan wang lebihan anda dan sanggup kehilangan wang ini sekiranya mengalami kerugian.

Sekiranya terbukti bahawa Cryptocurrency adalah matawang masa hadapan, tidak mustahil bagi nilainya untuk menaik setiap tahun kerana akan ada permintaan yang tinggi. Namun, jika terbukti Cryptocurrency hanyalah helah alam maya semata-mata dan tidak lagi relevan, bersedialah untuk kehilangan semua wang yang anda laburkan!

Kesimpulan

Kami bukanlah anti kepada Cryptocurrency malah amat mengagumi teknologi disebaliknya terutamanya Blockchain. Namun, sebagai pelabur yang bijak, eloklah kita untuk mengambil pendekatan berjaga-jaga. Pastikan terdapat garis panduan yang jelas sebelum memulakan sesuatu pelaburan. Buat masa ini, kami tidak nampak keperluan untuk melabur di dalam Lavida Coin kerana statusnya masih diragui.

Sekiranya anda adalah seorang investor ataupun trader saham, lebih baik untuk fokus menambah baik skill yang anda ada sekarang daripada terjebak dengan skim-skim yang diragui pulangannya. Takut nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran…

Di Mahersaham, kami bukan sahaja mendidik anda menjadi seorang trader, namun kami juga selitkan silibus-silibus yang mendidik anda menjadi superinvestor terhebat seperti menganalisa financial report. Mana tahu suatu hari nanti anda dapat tandingi kehebatan melabur Warren Buffett!

Similar Posts