|

KWSP : Satu Sistem Penindasan?

Saya terpanggil untuk membuat artikel ini setelah viral baru2 ini isu berkaitan kwsp. Wajar atau tidak pengeluaran KWSP? Sekarang saya nak beritahu, sistem KWSP itu sendiri sepatutnya dihapuskan dan tak wajar dicipta.

Dalam artikel ini juga saya akan ceritakan sedikit skim pencen dan skim kwsp, macam mana skim kwsp ni boleh wujud dan akhir sekali patut atau tidak duit kwsp anda tu dikeluarkan. Saya akan cerita juga adakah kwsp ini konspirasi untuk middle class dan bagaimana duit kwsp ini boleh dimanipulasikan. Tonton video ni sampai habis.

Dua Jenis Sistem Persaraan : Pencen dan KWSP

Dalam dunia ni biasanya ada dua jenis skim persaraan. Skim pencen mat saleh panggil defined benefit. Skim KWSP adalah defined contribution. Di mana-mana negara boleh kata ada kedua2 sistem ini. Namun ada beberapa benda atau bahagian yang akan sedikit berbeza antara satuy sama lain.

Mengikut pengalaman saya, selepas saya dah nak habiskan housemen dalam kementerian kesihatan malaysia, saya perlu buat keputusan sama ada nak ambil skin pencen atau kwsp. Nak bandingkan kedua-dua tu, saya suggest anda buat kajian…dekat facebook pun dah ada ramai yang share.

Antara perkongsian yang saya rasa menarik adalah perkongsian oleh saudara Alwi Adam di facebook beliau bertajuk KWSP atau Pencen?. Kalau rasa panjang sangat, baca je kesimpulan saya tulis di bawah ini.

Kesimpulan yang saya dapat adalah, dalam keadaan di mana anda akan bekerja sehingga bersara, maka anda pilihlah skim pencen. Sebabnya selepas anda bersara tu, dapat pulak duit pencen setiap bulan, anda akan dapat sampai anda meninggal dunia. Lagi lama anda hidup selepas bersara, lagi untung. Masa anda bekerja pulak, orang yang ambil skim kwsp tak dapat gaji penuh, sebahagiannya kena dipaksa simpan dalam kwsp.. Jadi ada kelebihan cashflow untuk orang yang memilih skim pencen.

Untuk kwsp, benefitnya adalah anda boleh lah nak bersara awal, tak terikat dengan kontrak nak kerja sampai pencen. Majikan juga akan memberikan ‘dana tambahan’ juga untuk dimasukkan dalam epf anda. Dalam kes ini, anda kena paksa untuk simpan duit dalam epf, majikan anda pun kena paksa untuk sumbang duit untuk persaraan anda.

+++++++++++++++++++++++++++++++++

Macam mana sistem pencen ni boleh terhasil?

Dulu-dulu,Kalau waktu zaman feudal, zaman pembesar memiliki tanah dan kawasan, mereka juga ada hamba-hamba atau penduduk yang akan mengusahakan kawasan dan memberikan sumbangan kepada pembesar2.

Selepas dah ramai orang keluar dari sistem atau zaman perhambaan,zaman penjajahan.. orang boleh menentukan pilihan hidup sendiri, wujud pula kerajaan atau organisasi besar2  yang memerlukan rakyat atau orang biasa bekerja untuk mereka. Orang biasa ni, mereka tak minat lah kalau nak bekerja untuk orang lain, nak kayakan orang lain… jadi terhasillah sistem yang sangat buat orang terliur…. “ Kau bekerja dengan aku, selama sekian tahun, selepas umur pencen nanti, aku akan tanggung kau sampai kau mati”

Mana tak terliur beb…. The idea of someone tanggung ko sampai mati, dalam sesetengah keadaan pulak atau kontrak, akan tanggung tanggungan kau kalau kau mati awal…. Adalah sesuatu yang sangat menarik. Maka terhasillah skim pencen ni…..

Akan tetapi sistem pencen ni sebenarnya ada masalah…..

Masa depan kita tak boleh jangka. Duit yang nak dibayar kepada orang yang layak dapat pencen ni sebenarnya datang dari mana? Adakah dari keuntungan sewaktu orang tu bekerja dengan kita, lepas tu kita berjaya rolling duit tu, kembangkan lagi….. Jadi sebahagian tu bolehlah kemudian tampung kehidupan ex-pekerja kita tu sampai mati?

Dulu-dulu mungkin senang lagi la nak kira, average lifespan…purata jangka masa hidup manusia tak macam sekarang. Mungkin memang diorang dah kira yang diorang tak akan rugi pun bagi sistem pencen ni, gaji bulanan bagi gaji cukup2 makan… organisasi atau kerajaan dapat untung besar sebab berjaya capai tahap efficiency yang tinggi dengan kos yang semakin kecil hasil daripada aktiviti berskala besar… dan bila diorang pencen nanti baru bayar kepada pekerja – bahagian yang mungkin sebenarnya waktu diorang bekerja lagi dah boleh dapat.

Populasi Yang Menyusut Dan Produktiviti Berkurangan

Selain daripada faktor usia manusia yang semakin panjang, wujud pula masalah lain untuk skim pencen. Mereka gagal untuk jangka yang akibat kemodenan, penduduk mula cenderung untuk tak kahwin, tak ada anak… populasi menyusut! Mana datang duit nak diberi kepada orang2 yang dah pencen kalau dah tak ada orang untuk bekerja dengan syarikat atau kerajaan… produktiviti berkurang! 

Kerajaan Tak Cukup Duit

Sekarang ni di Malaysia, doktor-doktor dah mula main mogok. Benda ni dekat UK, bukan setakat doktor, pekerja dalam sektor lain pun nak mogok. Kenapa doktor-doktor kita ni mogok? Sebab asalnya boleh dapat kerja dalam government, habis housemenship boleh diserap masuk…disahkan jawatan… akan tetapi sekarang mereka hanyalah pekerja kontrak je. Yang terpilih sahaja akan diserap masuk. Benda tu memang tak boleh dielakkan, kerajaan dah tak cukup duit. 

Tak ada duit nak bina hospital baru untuk cater rakyat, tak ada hospital bermaksud tak adalah penempatan untuk doktor-doktor baru. Doktor-doktor lama pula, pergerakan gaji mereka adalah time based. Maksudnya selepas beberapa tahun, tangga gaji sure akan naik. Kalau dah semua doktor yang ada akan naik gaji, memanglah kos akan bertambah.

Dalam masa yang sama, kita tak boleh nak kira benda ni dengan mudah, dengan hanya melihat kepada satu unit atau sektor sahaja. Kementerian kesihatan di malaysia bukan buat duit dengan caj mahal-mahal kepada rakyat sebaliknya lebih kepada kebajikan… datang klinik kesihatan bayar rm1, bayar rm5. Dapat consultation doktor, dapat ubat free. Memang tak dapat lah nak bandingkan duit rm1 rm5 yang diperolehi tu dengan perbelanjaan untuk ubat-ubatan, gaji staf.

Jadi kerajaan perlu melihat bahagian lain untuk jana income. Itu kita cerita bab lain. Sekarang ni, bila sistem pencen dah dijangka akan membebankan kerajaan, maka diciptalah ‘defined contribution’ atau skim kwsp.

Sistem KWSP adalah ‘penambahbaikan’ kepada sistem pencen

Dalam sistem pencen, kerajaan atau pihak majikan perlu menanggung pekerja sampai mati. Dalam keadaan yang kita tak tahu masa depan, itu adalah risiko besar. Maka cadangannya adalah mewujudkan sistem penambahbaikan kepada pencen.

Bukan merujuk kepada KWSP secara spesifik di Malaysia, jangan salah faham, akan tetapi secara global. Dengan majikan menyumbangkan sedikit sumbangan kepada tabung persaraan pekerja atas nama ‘matching contribution’, maka itu mungkin diharapkan dapat membantu pekerja bila dia sudah tua nanti.

Masa depan pekerja yang bekerja dengan mereka bukan lagitanggungjawab majikan. dalam sistem kwsp, caruman daripada pekerja akan ditolak daripada gaji mereka manakala caruman daripada majikan pula akan dikeluarkan sebagai tambahan atau matching contribution mengikut peratusan daripada gaji.

Pekerja dipaksa untuk menabung dalam tabungan dan duit tabungan itu akan dikumpulkan kesemuanya dan diuruskan oleh badan yang bertanggungjawab untuk melaburkan duit tersebut ke tempat yang diharapkan dapat memberikan pulangan yang tinggi kepada pencarum.

Saya ada menonton satu video baru-baru ini berkaitan skim persaraan oleh Robert T Kiyosaki. Katanya kita ditipu oleh skim persaraan. Katanya duit yang kita simpan untuk persaraan itu sebenarnya lebih memberikan keuntungan kepada Wall Street, kalau untuk kita macam bursa saham lah. Satu statement yang pelik tu, betul tak?

Dan saya pun teringatlah satu persoalan yang saya masih tak terjawab sebelum ini berkaitan window dressing.

Window Dressing Untuk Cantikkan Prestasi Bursa Saham

Window dressing ini katanya jika berlaku, akan mencantikkan prestasi ‘fund manager’ atau bursa saham itu sendiri. Untuk faham lebih lanjut, boleh ke Bursa Malaysia Ditutup Tinggi : Window Dressing Pertengahan Tahun?

Persoalan saya yang pada waktu itu tidak dijawab adalah, rajin dan bersungguh pulak Institutional Fund yang besar-besar seperti KWSP sebagai contoh nak beli saham-saham dalam Bursa Malaysia secara besar-besaran semata-mata nak cantikkan prestasi bursa saham Malaysia?

Bila dilihat semula, dan dengar balik apa yang dikatakan oleh Robert T Kiyosaki, tak ada apa yang mustahil. Akta dan undang-undang berkaitan KWSP dikawal oleh kerajaan. Kerajaan pula kalau nak nampak bagus di mata para pelabur asing, bursa saham kena cantik.

Dana Digunakan Untuk Kestabilan Aset-aset Negara

KWSP sebagai antara dana terbesar dunia, memainkan peranan besar dalam memastikan aset-aset negara yang kebanyakannya ada disenaraikan di Bursa Malaysia tidak susut nilai akibat penjualan saham oleh orang ramai atau dalam kes yang lebih memberikan impak – Foreign Fund atau dana asing.

Dalam masa yang sama, apabila berlaku kemelesetan ekonomi yang biasanya akan menyebabkan dana asing lari, institutional fund seperti KWSP akan masuk untuk menyeimbangkan keadaan dan mungkin atas penilaian bahawa syarikat-syarikat tersebut memang sedang diniagakan pada harga diskaun atau di bawah nilai (undervalued).

Dengan tindakan sedemikian, apabila dilakukan ke atas syarikat-syarikat yang biasanya memberikan dividen, KWSP akan mengutip hasil dividen yang banyak jika dibandingkan dengan harga saham yang dibeli. Ini juga adalah antara sebab kenapa KWSP dapat memberikan pulangan yang kompetitif, sekitar 5-6% setahun.

Masalah Dengan Pengurusan Dana

Saya dengan ini tidaklah mengatakan KWSP tidak pandai menguruskan dana. Namun dengan amount dana yang besar, sekiranya tidak wujud satu SOP atau prosedur yang ketat dari segi keputusan pelaburan yang akan diambil, maka amat mudah untuk dana tersebut mengalami kerugian yang besar.

Soal SOP atau prosedur, saya yakin KWSP sudah mempunyai pengalaman yang cukup banyak dalam hal itu.

Dalam masa yang sama, jika berlaku campur tangan kerajaan atau politik, adakah KWSP akan membuat ‘exception’ dalam hal tersebut?

Bagaimana jika wujud satu syarikat yang mungkin dikaitkan dengan kerajaan, dalam masa yang sama mengalami kerugian yang besar sehingga tidak dapat diselamatkan lagi.. Sebelum itu pula dah dapat banyak subsidi atau bantuan daripada kerajaan, mungkin KWSP pun dah menjadi salah satu pelabur terbesar dalam syarikat tersebut. Apakah keputusan KWSP?

Menyelamatkan syarikat tersebut ‘bail out’ dengan dana rakyat atau berhenti melabur dalam syarikat tersebut serta merta, dan withdraw dalam keadaan ‘realised loss’ sebab nilai pelaburan dah susut nilai?

Itulah antara dilema yang dimiliki oleh pengurus dana dan saya fikir kalau anda uruskan portfolio anda sendiri pun anda akan hadapinya juga. Pelabur saham terutamanya patutnya faham apa yang saya cuba nak sampaikan ini.

Sudut Pandang Pencarum Pula : Pros and Cons

Kelebihan

Tak dinafikan sistem KWSP ada beberapa faedah yang saya nampak. Antaranya adalah tabungan untuk hari tua. Dengan anggapan bahawa ‘caruman tambahan’ dari majikan itu, sekiranya tidak wujud sistem KWSP, maka majikan memang tak akan bagi bonus, maka caruman tambahan itu boleh dikatakan satu bonus yang sangat bernilai.

KWSP pula pastinya akan berusaha yang terbaik untuk memberikan pulangan kompetitif kepada pencarum, jika tidak, mereka akan dikecam oleh rakyat. KWSP pula memang melantik mereka yang berkelulusan dan berpengalaman dalam bidang pelaburan untuk menguruskan dana mereka.

Berdasarkan kepada point-point ini, jika kita kurang ilmu, tidak berdisiplin dalam menguruskan duit, maka meletakkan duit dalam KWSP adalah antara langkah bijak. Sekiranya anda ingin mencarum secara sukarela sebab anda bekerja sendiri, anda perlu pilih sama ada nak letak dalam KWSP atau pun ASB. Anda boleh klik artikel Perbandingan KWSP Dan ASB ini untuk tahu lebih lanjut.

Kekurangan

Masalah apabila sebahagian duit kita ‘seolahnya’ dipaksa untuk diletakkan dalam tabung persaraan, adalah kita kekurangan duit yang boleh kita gunakan dalam kehidupan seharian. Memang betul duit dalam tabung KWSP itu adalah duit kita, namun kita berhadapan dengan kekangan untuk mengeluarkan duit tersebut.

Apabila berlakunya kecemasan, boleh jadi duit tersebut perlu dikeluarkan terlebih dahulu. Saya bagi contoh :

a. Anda atau ahli keluarga berhadapan penyakit yang perlu diubati tetapi bayaran rawatan adalah mahal. Dengan duit KWSP akan dapat membayar rawatan tersebut, dan hasilnya adalah anda selamat. Itu kalau takdirnya selamat, tapi kalau tak selamat, sekurang-kurangnya kita dah berikhtiar. Bagaimana jadinya kalau disebabkan tak dapat duit KWSP itu maka penyakit tak dapat diubati dan meninggal dunia? Duit yang disimpan untuk persaraan memang langsung tak dapat digunakan oleh pencarum

b. Pencarum berhadapan dengan aset seperti rumah atau kereta bakal ditarik. Dia perlukan bantuan sekurang-kurangnya untuk membantu ‘cashflow’ beliau sementara dia cuba mencari jalan atau pekerjaan untuk menampung bayaran bulanan pada masa akan datang. Apa gunanya nanti kalau disebabkan tidak dapat duit KWSP, rumah dilelong, kereta ditarik. Dia telah mengalami kerugian yang lebih besar berbanding pulangan hasil daripada simpanan dalam KWSP

Dua benda yang pasti dalam dunia ini

Menyentuh tentang hutang atau pinjaman, saya nak pesan dan ingatkan sekali lagi. Dalam dunia ini ada dua benda yang pasti berkaitan duit : Cukai dan Riba.

Anda tak bayar cukai, kerajaan akan sita harta anda, kenakan sekatan dan boleh dakwa dalam mahkamah. Anda tak bayar ansuran pinjaman, anda boleh dijadikan bangkrap – juga datang dengan sekatan-sekatan yang ada.

Macam mana kalau duit lebihan itu, daripada diletakkan dalam kwsp untuk dapatkan pulangan pelaburan, sebaliknya kita gunakan ia untuk langsaikan pinjaman – bayar pokok mungkin – kalau tak dapat pun tutup kesemua hutang.

Pelaburan, pulangannya belum tentu. Walaubagaimanapun kalau kita bayar pokok atau prinsipal, sah-sah kita dapat penjimatan interest untuk amount yang kita bayar. Apatah lagi kalau interest pinjaman tersebut adalah sangat tinggi seperti pinjaman kad kredit atau personal loan. Belum lagi campur denda lewat bayar dan sebagainya lagi.

Kesimpulan

Begitulah apa yang dapat saya kongsikan berkaitan KWSP. KWSP wajar dihapuskan apabila masyarakat kita adalah masyarakat yang semuanya celik kewangan, tahu uruskan duit sendiri, aset negara pula memang harganya stabil hasil dari fundamental ekonomi yang kukuh. Juga tak dilupakan seluruh dunia pun turut mansuhkan sistem persaraan ini supaya tak wujud perbezaan ketara antara negara yang kerajaannya ada backup wang persaraan dan ‘central bank’ dengan negara yang tak ada sistem-sistem ini.

Namun demikian, benda-benda tu semua tak berlaku, masing-masing pun memiliki agenda masing-masing. Kita sebagai manusia yang hidup di dunia sementara ini, pandai-pandailah cari makan, pandai-pandailah cari ilmu supaya kita tak ditindas.

Menghapuskan secara total KWSP dengan mendadak, mengeluarkan semua duit dalam KWSP dan mengagihkan kepada pencarum tanpa mengkaji secara terperinci kesan-kesannya juga akan membawa malapetaka kepada kita semua.

Sebut tentang agenda, saya pun memiliki agenda saya sendiri. Saya ni seorang remisier saham, cari makan dengan cari client dan client trade. Untuk itu, sekiranya anda berminat untuk jadi client saya, boleh lah lawati Apa Itu Akaun CDS Dan Cara Buka Akaun CDS Mplus Online

Di Singapore, mereka miliki sistem perumahan HDB dan sistem tersebut sangat berkait rapat dengan sistem persaraan mereka. Untuk tahu berkaitan sistem perumahan HDB, boleh ke Sistem Perumahan HDB Singapore Yang Unik.

Similar Posts