Kereta Nasional Baharu Pacu Industri Automotif
Kereta Nasional Baharu
Penghasilan Kereta Nasional Baharu yang telah digembar-gemburkan selama ini bakal jadi realiti.
Pelancaran kereta nasional baharu bakal dilancarkan pada Mac 2021. Prototaip pula akan diumumkan Mac tahun hadapan.
Dunia kini telah menyaksikan pelbagai jenis kenderaan berkuasa tinggi. Ada yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya seperti NIO EP9.
Penghasilan kereta nasional baharu telah lama diimpikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Namun, tidak semudah yang disangka. Sejak Geely mengambil alih Proton, ia sekali-kali tidak mematahkan cita-cita beliau untuk mewujudkan sekali lagi kereta nasional itu.
Beliau juga berani berhadapan dengan segelintir pengkritik yang mengatakan penghasilan kereta ini suatu pembaziran.
Menempelak dan menyatakan bahawa industri automotif ini telah membantu China mengecapi kemajuan dalam masa yang singkat.
Kerjasama DreamEDGE dan Daihatsu Motor Company
Dengan itu, bagi menjayakan misi kereta nasional, DreamEDGE sebuah syarikat yang mempunyai teknologi dan kepakaran yang mendalam dalam industri automotif telah dilantik.
Selain itu, bantuan dan sokongan daripada syarikat Daihatsu Motor dalam beberapa bidang berkaitan “advanced technology” turut mendapat perhatian.
Syarikat tersebut yang mempunyai pegangan saham dalam syarikat Perodua, dikatakan tidak akan mempunyai bahagian langsung dalam pegangan saham pembuatan kali ini.
Namun, siapa tahu, mungkin strategi Jepun untuk menguasai pasaran automotif di Malaysia berbeza dengan Syarikat Geely daripada China.
Bermula dengan usahasama yang dijalinkan ini, tidak mustahil jika ada mana-mana pihak yang berkepentingan yang rela menggadaikan kereta nasional ini buat kali yang berikutnya?
Rakyat Malaysia harus mempelajari bidang kejuruteraan automotif
Bidang automotif kini mendapat tempat dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Dengan era teknologi serba canggih yang pesat membangun, bidang ini juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan pelbagai inovatif terhadap kereta-kereta alaf baharu.
Rakyat digesa untuk menceburi bidang ini supaya kepakaran yang ada dalam negara mampu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
Dengan ini, kepakaran dari negara luar seperti Jepun dan China tidak lagi diperlukan.
Galakan terhadap mereka yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang ini haruslah dipupuk dan diperhebatkan lagi dengan pelbagai pendedahan.
Ini termasuklah dalam perkhidmatan untuk penghasilan kereta nasional pada kali ini.
Seharusnya, negara memandang tinggi terhadap bakat-bakat terpendam yang ada dalam kalangan masyarakat terlebih dahulu dan mengharapkan kepakaran mereka lebih daripada apa yang diperoleh oleh syarikat asing itu.
Kesepaduan tenaga mereka mampu menyaingi kehebatan yang dimiliki seterusnya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.