Hukum Forex oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa
Apa itu Forex?
Forex iaitu singkatan kepada Foreign Exchange yang bererti pertukaran matawang asing.
Oleh itu, amatlah penting memastikan jual beli ini dilakukan berdasarkan syarat-syaratnya yang khusus.
Jika tidak menepati syarat, maka transaksi itu menjadi batil dan terlibat dengan riba yang diharamkan.
Apa syarat-syarat dalam jual beli?
- Mestilah kedua-dua barang adalah sama kualiti dan kuantitinya jika berlaku antara dua barang yang sama jenis. Misalnya, emas ditukar dengan emas. Contoh lain, ringgit ditukar dengan ringgit. Jika tidak maka akan berlaku riba al-fadl.
- Mestilah berlaku secara tunai terus tanpa bertangguh. Jika tidak maka akan berlaku riba al-nasi’ah.
- Perlu berlakunya serah-terima sebelum bersurai. Jika tidak, maka transaksi itu terbatal dan dikira berlaku riba al-yadd.
Hukum Perdagangan Petukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa
Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut.
- Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud)
- Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad
- Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli
- Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.
Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:
- Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platfom forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad
- Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan
- Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart.
Selain memenuhi syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay’ (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.
Hukum Forex oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa
Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platform elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian.
Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara.
Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.
Muzakarah juga menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.
Urusan jual beli dan urus niaga
Secara peribadi, urusan jual beli sah sekiranya barang yang didagangkan adalah komoditi.
Namun begitu, pertukaran mata wang dengan duit bukanlah komoditi yang boleh didagangkan.
Duit adalah medium pertukaran antara dua pihak dalam urusan jual beli dan urusan urus niaga.
Maka oleh sebab itu, forex jatuh hukum haram dalam soal ini.
Tetapi ianya berlainan jika pertukaran wang dilakukan antara institusi yang berlesan seperti money changer atau institusi kewangan yang berdaftar selagi mana ia memenuhi syarat-syaratnya iaitu dibayar secara tunai, bukan hutang dan tidak boleh berlaku sebarang penundaan dalam proses serah dan terima wang berkenaan.
Hadis yang diriwayat oleh Ubadah bin Samit RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Emas yang ditukar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, (hendaklah) dilakukan secara sama kualiti dan kuantitinya, dan secara tunai (tidak bertangguh). Jika (dilakukan transaksi) berbeza jenis-jenis tersebut, maka lakukanlah jual beli mengikut apa yang kamu kehendaki, dengan syarat dilakukan secara tunai (tidak bertangguh).
Hadis riwayat Imam Muslim (no. 1587)
Kesimpulan
Selain itu, isu forex ini masih ramai yang samar-samar dengan hukumnya dan menjadi tanda tanya ramai masyarakat hari ini.
Bagi pendapat saya berbaliklah pada yang asal.
Kaji terlebih dahulu sebelum menceburi dalam apa jua bentuk pelaburan.
Semoga kita sentiasa berada pada landasan yang betul seiring dengan hukum syarak dalam pada mengejar kepantasan ekonomi dunia.