|

Cara Bersihkan Wang dan Sucikan Harta Tidak Patuh Syariah

Mencari harta yang halal adalah wajib bagi seluruh umat Islam. Sekiranya anda memiliki wang yang tidak patuh syariah, wajib untuk anda bersihkan wang dan sucikan harta tersebut.

Dalam pelaburan saham, terdapat beberapa situasi yang akan menyebabkan duit anda menjadi ‘kotor’ atau istilah lainnya, menjadi tidak patuh syariah ataupun menjadi haram.

Perkara ini boleh terjadi sekiranya anda :

  1. Mendapat keuntungan daripada penjualan saham yang tidak patuh syariah
  2. Mendapat interest/pulangan yang tidak patuh syariah daripada syarikat broker atau bank

Maka, anda perlu bersihkan wang dan sucikan harta yang diperolehi tersebut.

Syarikat Tidak Patuh Syariah

Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, telah menggariskan beberapa tanda aras untuk menetapkan sesebuah aktiviti perniagaan itu untuk dikira sebagai aktiviti patuh shariah. Sumbangan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh Syariah kepada perolehan Kumpulan dan keuntungan sebelum cukai Kumpulan sesebuah syarikat akan dikira dan dibandingkan dengan tanda aras aktiviti perniagaan yang relevan seperti berikut:

  1. insurans konvensional
  2. perjudian
  3. arak dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya
  4. babi dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya
  5. makanan dan minuman tidak halal
  6. hiburan tidak patuh Syariah
  7. tembakau dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya
  8. pendapatan faedah daripada akaun dan instrumen konvensional
  9. aktiviti-aktiviti lain yang diputuskan sebagai tidak patuh Syariah.

Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti

Baitulmal juga telah disenaraikan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti dalam ketetapannya berkenaan Senarai Sekuriti Patuh Syariah pada 20hb. November 2008 yang mana antara lain menyebut:

i.    “Sekuriti patuh syariah” yang kemudiannya bertukar status kepada “tidak patuh syariah”       

“… Walau bagaimanapun, sebarang lebihan keuntungan modal yang diperoleh daripada penjualan selepas hari pengumuman pada harga pasaran yang lebih tinggi daripada harga penutup pada hari pengumuman, hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal”.

ii.    Sekuriti patuh syariah

“… Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh ketika atau selepas pelupusan sekuriti berkenaan hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal. Pelabur hanya berhak untuk memperoleh kembali kos pembelian asal sahaja”.

Pengklasifikasian sesuatu pelaburan yang mematuhi syariah (shariah-compliant securities) boleh dilihat dengan jelas melalui Senarai Sekuriti Patuh Syariah yang dikeluarkan Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertarikh 26hb. November 2010. Lebih dari itu, dinyatakan juga dalam senarai tersebut bagaimana aras sesuatu sekuriti itu diukur dari segi kehalalan dan kepatuhan prinsip syariahnya. Bukan itu sahaja, senarai tersebut juga dinyatakan syarikat-syarikat yang terkeluar atau tidak mematuhi syariah dengan jelas.

Selain dari itu, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti juga telah mengeluarkan Senarai Sekuriti Patuh Syariah (List of Shariah-Compliant Securities) pada 25hb. Nov 2011 dan List of launched funds in relation to unit trust funds yang dikemaskini pada 31hb. Oktober 2011 yang mana jelas menyatakan dana-dana amanah yang mematuhi syariah dan tidak mematuhi syariah.

Cara Bersihkan Wang Tidak Patuh Syariah

Majlis fatwa kebangsaan/mufti wilayah

Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

1. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

2.   Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.

Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain (2009) (Nombor 34, muka surat 75, 76)

Kesimpulan

Jangan ambil mudah berkaitan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Sekiranya terdapat dalam harta anda yang masih tidak dibersihkan, bolehlah bertindak dengan segera dengan membersihkan wang dan sucikan harta anda tersebut.

Similar Posts