Bursa Excellence Award 2022
Pada 21 Mac 2023, saya telah dijemput oleh Bursa untuk menerima award. Bursa Excellence Award ini adalah anugerah tahunan yang dibuat oleh Bursa untuk memberikan penghargaan kepada syarikat broker dan juga individu yang cemerlang dalam ekosistem pelaburan yang berkaitan dengan Bursa Malaysia.


Mplus Sebagai Broker Juga Menang
Berikut adalah ringkasan award yang dimiliki oleh Malacca Securities Sdn Bhd atau nama popularnya Mplus. Untuk senarai penuh pemenang award boleh ke BURSA MALAYSIA RECOGNISES TOP PERFORMING BROKERS AND MARKET INTERMEDIARIES AT THE BURSA EXCELLENCE AWARDS 2022

Kali Pertama Menang Award Bursa Excellence
Ini adalah kali pertama saya tersenarai dalam senarai pemenang pada kali ini. Yang saya menang adalah dalam kategori Best Remisier untuk Islamic Market. Sebelum ini kategori tersebut tidak wujud, jadi Best Remisier adalah dilihat secara keseluruhan, remisier yang buka akaun konvensional dan akaun syariah.
Untuk award sebelum-sebelum ini ada juga Bursa buat majlis kecil-kecilan, tetapi bukan segah Bursa Excellence Award ini.
Best Remisier pula yang saya tahu dipilih berdasarkan kepada berapa banyak client trade secara keseluruhan untuk tahun tersebut.
Kalau berdasarkan kriteria tersebut, bolehlah dikatakan saya no 2 daripada kalangan remisier yang buka akaun syariah. No 1 dimenangi oleh Anas Faris, remisier Mplus Wangsa Maju juga seperti saya, pengasas Isaham, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Dzulhilman Sulaiman, Branch Manager untuk Mplus Wangsa Maju.
Ironiknya, Dzul adalah orang yang kenalkan dan ajak saya menjadi remisier Mplus, manakala Anas pula adalah orang yang saya ajak untuk menyertai broker Mplus.
Mungkin sebab Anas tak ada ajak orang lain jadi remisier Mplus, maka itu sebab dia boleh maintain no 1. Kehkeh.


Remisier Bumiputera
Remisier bumiputera pada asalnya memang tak ramai, mungkin sekarang ini pun masih tak ramai sangat juga. Itu juga adalah antara sebab kenapa ada polisi untuk setiap dealer atau remisier non bumi yang syarikat broker kena ambil bekerja, perlu ada ratio juga untuk ambil dealer atau remisier bumiputera untuk bekerja.
Jika anda berminat untuk tahu apa itu remisier, boleh ke Tugas dan Tanggungjawab Remisier.
Sesetengah remisier bumiputera tersebut mendapat elaun khas, kalau dalam kes saya, memang tak ada. Saya rasa sekarang ini pun mungkin perkara tersebut sudah tidak lagi diamalkan atau sedang diberhentikan secara beransur-ansur.
Antara sebab kenapa remisier bumiputera tak banyak adalah sebab banyak yang hilang dari radar akibat krisis ekonomi 1998-1999, dan sejak itu masyarakat secara umumnya melihat pasaran saham ini seolah-olah satu bentuk ‘scam’.
Maka wujud lompong kosong atau ‘gap’ dalam bidang kewangan dan saham ini daripada kalangan generasi berikutnya.
Walaubagaimanapun, tak dinafikan juga ada kalangan remisier bumiputera yang mula berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan saham ini.
Kewujudan BDREF dan BTF
Persatuan Remisier Bumiputera memang sudah lama bertapak di Malaysia. Pribumi juga menjadi antara persatuan yang dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan dan menggunakan dana yang datang dari BDREF. Pada masa yang sama, wujud juga BTF di mana fund tersebut boleh digunakan sebagai bantuan training kepada dealer atau remisier bumiputera.


Saya sejujurnya adalah antara orang yang mendapat manfaat daripada program-program ini. Pada tahun 2017, selepas saya mula jadi seorang remisier Oktober 2016 dan kemudiannya menyertai Pribumi, saya telah menghadiri program mereka untuk Diploma of Technical Analysis (MSTA).
Benda tu ditaja, tapi dengan syarat kena lulus, kalau tak nanti kena bayar balik. Key instructor untuk program tersebut ketika saya join adalah Haji Zainal, dan banyak dibantu oleh isteri beliau Kak Hani Raihan Ikhwan. Kedua-duanya adalah remisier.
Dalam program tersebut, selain daripada belajar analisis teknikal yang sahih dan tersusun, segmen lain yang saya sangat suka adalah didatangkan speaker-speaker jemputan yang saya anggap pada waktu tersebut sebagai ‘legend’.
Ada DDNK, Ridzuan Ibrahim, Azizul Azli CEWA, Fakhrul, Oppa, geng-geng yang kini adalah Stallion Brothers seperti (kalau saya tak silap) – Redza, Hafiz, Marzuki. Seingat saya Haji Asri Ahmad tak ada, tak ingat Faizal Yusup pernah datang ataupun tidak, mungkin ada.
Mendengar pengalaman mereka dan perkongsian mereka (lagi-lagi waktu sebut income mereka atau kalangan senior yang dah cecah strong 5 digit – yang upper range punya 5 digit), memang rasa termotivasi.
Hasil daripada MSTA itu, dapatlah saya satu qualification yang boleh dibanggakan.
Kekuatan Media Sosial
Macam mana saya boleh terdedah dengan saham ini, itu saya cerita lain kali. Namun yang saya nak point out, pada tahun 2015, saya mula aktif belajar saham. Saya fikir, kewujudan facebook, whatsapp sebenarnya memudahkan ramai orang untuk didedahkan dengan saham.
Antara yang naik pada waktu itu adalah Asri Ahmad, DDNK dan anak-anak didiknya (yang kebanyakannya dah pilih haluan masing-masing seperti Stallion Brothers). Faizal Yusup pun rancak juga saya dengar daripada sepupu saya.
Tahun 2014 hingga 2016 juga sebenarnya adalah waktu market tengah bullrun. Jadi tak hairanlah sambutan terhadap saham sangat menggalakkan pada ketika itu.
Tidak dilupakan juga ada Dontrader, arwah Nazarry Rosli, Cikgu Saham, Doktor Saham, Engineer Saham, YB, AtukTAVA dan lain-lain lagi yang sebenarnya boleh kata membantu mewujudkan ekosistem saham di Malaysia.
Saya jadi remisier pun lewat, tak sempat nak merasa sangat bullrun dan dengan pengalaman yang baru setahun jagung, mentah, saya sebenarnya masuk pada waktu market tengah nak jatuh.
Walaupun demikian, jujur saya katakan, Facebook memang menjadi salah satu faktor besar dalam menjadikan Mahersaham berkembang pesat.
Sokongan padu daripada client-client yang percaya pada Mahersaham, student-student terawal saya yang pernah hadir kelas saya di ofis EzazWealth Alwi Adam di Shah Alam, kelas kecil saya di Melaka waktu saya mula buat di Melaka, team saya yang banyak membantu merangka dan melaksanakan plan dengan penuh dedikasi – itu semua adalah faktor kecemerlangan.
Kalau difikirkan balik pun, semuanya berlaku dengan perancangan yang sangat teliti, selalunya dengan jalan yang tak disangka-sangka – yang mana ia bukanlah kerja manusia tetapi takdir oleh Allah swt jua.
Jadi rasanya sampai di sini dahululah coretan kali ini. Saya belum sentuh bagaimana saya boleh jadi remisier, tahun 2022 adalah tahun kegagalan dan apakah fasa seterusnya dalam pelaburan saham atau mungkin kerjaya dan perancangan saya pada masa hadapan. Itu semua saya akan cuba kupas dalam tulisan akan datang, insyaAllah.