Bon dan Sukuk
Menurut Bond Pricing Agency Malaysia Sdn Bhd (BPAM), pasaran bon dan sukuk tempatan kekal sebagai aset pelaburan yang menarik kepada pelabur asing.
Hal ini disebabkan oleh pulangan yang positif menjadikan bon dan sukuk tempatan sebagai pilihan yang lebih baik jika dibandingkan dengan negara lain.
Definisi bon
Apakah yang dimaksudkan dengan bon?
Bon ialah instrumen yang diterbitkan oleh peminjam untuk mendapatkan sejumlah dana yang besar daripada pelabur.
Peminjam boleh jadi terdiri daripada institusi korporat, kerajaan, ataupun perbandaran.
Mengapa tidak pinjam di bank sahaja?
Malangnya kebanyakan bank tidak mampu untuk memberi pinjaman oleh kerana jumlah pinjaman yang terlalu besar dan kekurangan sumber.
Pelabur memilih instrumen bon adalah disebabkan instrumen ini menjanjikan pendapatan tetap yang dipanggil sebagai kupon.
Pelabur juga dijanjikan pulangan modal yang dipinjam pada tempoh matang.
Pihak yang menerbitkan bon bertanggungjawab membayar hutang kerana berjanji untuk membayar kupon secara berkala dan wang pokok (modal) akan dibayar pada tempoh matang.
Penerbit bon boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya gagal menunaikan tanggungjawabnya.
2 jenis bon di pasaran
Tahukah anda, terdapat 2 jenis bon di pasaran iaitu bon kerajaan dan bon korporat.
Bon kerajaan ialah sekuriti hutang yang diterbitkan oleh kerajaan bertujuan untuk perbelanjaan pembangunan meliputi pembinaan sekolah, jalanraya, hospital dan infrastruktur utiliti.
Pelabur memilih bon kerajaan sebagai pelaburan selamat kerana ianya dipercayai dan berisiko rendah.
Bon korporat pula ialah sekuriti hutang yang diterbitkan oleh syarikat dengan bertujuan untuk penggunaan operasi syarikat.
Walaubagaimanapun, bon konvensional dari segi pelaksanaannya berkait dengan elemen riba di mana ianya sangat di tegah dalam ajaran Islam.
Apakah itu sukuk?
Seterusnya, apa yang dimaksudkan dengan sukuk?
Adakah sukuk dan bon benda yang sama?
Sukuk ialah instrumen kewangan Islam dimana tujuannya hampir sama dengan bon.
Tetapi berlandaskan syariah dan inilah yang membezakan antara sukuk dan bon konvensional.
Dana daripada hasil terbitan hendaklah digunakan untuk perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan prinsip syariah.
Malaysia merupakan salah sebuah negara pengeluar sukuk terbesar dunia
Buat pengetahuan anda, Malaysia merupakan salah sebuah negara pengeluar sukuk terbesar di dunia.
Penerbitan sukuk hendaklah berasaskan 3 prinsip ini iaitu:
⦁ Sukuk adalah instrumen dana bagi perkembangan perniagaan atau asset.
⦁ Sukuk adalah tuntutan ke atas asset dari perolehan hasil asset dan bukan hutang.
⦁ Instrumen kewangan Islam berasaskan syariah.
Menurut Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), terdapat 14 jenis sukuk di pasaran yang setiap satunya berbeza dari segi prinsip dan proses syariahnya.
Antaranya ialah Sukuk Ijarah, Sukuk Salam, Sukuk Istisna, Sukuk Musyarakah, Sukuk Wakalah dan Sukuk Mudharabah.
Perbezaan bon dan sukuk
Dari segi proses pembentukan, pembentukan bon adalah lebih mudah dan ringkas berbanding dengan sukuk.
Dari sudut pelabur pula, sukuk dilihat mempunyai kelebihan kerana semua jenis pelabur sama ada konvensional ataupun Islamik berpeluang untuk melabur dalam sukuk.
Selain itu, harga sukuk adalah lebih stabil kerana ia berdasarkan asset perniagaan manakala harga bon berubah-ubah kerana tidak bersandarkan asset.
Kesimpulan
Menurut BPAM, sehingga Jun tahun ini, pegangan asing dalam bon dan sukuk tempatan kekal stabil kira-kira 37% daripada jumlah nilai tertunggak bon dan sukuk Malaysia.
Pasaran bon dan sukuk Malaysia terus menunjukkan kedudukannya yang penting dan menjadi tunggak utama dalam pasaran modal, membiayai ekonomi sebenar serta keperluan infrastruktur negara.
Anda newbie dalam saham?
Nak belajar tentang saham? Nak tahu lebih lanjut?
Tapi tak tahu nak mula dari mana?
Jangan risau download ebook PERCUMA daripada Mahersaham sekarang juga!