penggunaan rangkaian sosial
|

96.5% Rakyat Malaysia Guna Internet Untuk Rangkaian Sosial

Adakah anda tergolong dalam kalangan 96.5% rakyat Malaysia yang menggunakan internet untuk rangkaian sosial?

Laporan Penyiasatan Penggunaan dan Capaian ICT Oleh Individu dan Isi Rumah, Malaysia, 2018 telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 9 Mei yang lalu dan angka tersebut telah meningkat jika dibandingkan pada tahun 2017.

Pada tahun 2017, 86.3% rakyat Malaysia menggunakan rangkaian sosial meningkat kepada 96.5% pada 2018.

 

Pengguna rangkaian internet terdiri daripada golongan 15 tahun ke atas

Sebahagian besar penggunaan internet secara individu di Malaysia adalah terdiri daripada golongan yang berumur 15 tahun ke atas iaitu sebanyak 81.2% meningkat daripada 80.1% pada tahun 2017.

Selain daripada rangkaian sosial, menurut laporan, rakyat Malaysia menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat tentang barangan atau perkhidmatan, memuat turun media digital, memuat turun perisian atau aplikasi, menghantar atau menerima e-mel dan membuat panggilan telefon.

Manakala penggunaan telefon bimbit meningkat daripada 97.7% pada tahun 2017 kepada 97.9% pada 2018.

 

Semua urusan hampir memerlukan internet

Tidak dinafikan banyak urusan kehidupan harian kita melibatkan penggunaan internet.

Kewujudan telefon bimbit merancakkan lagi kepesatan internet.

Benar, apalah fungsi sesuatu telefon bimbit jika tiada internet.

Tambahan lagi, pelbagai fungsi dan tarikan yang diperkenalkan bagi memudahkan urusan harian.

Antaranya ialah proses pembelajaran secara e-learning, pembayaran bil, perbankan atas talian, urusan pendaftaran, e-wallet, aplikasi peranti, hiburan, alat untuk berkomunikasi, penunjuk jalan, ebook, membuat kerja untuk mengedit, kamera, kalkulator, jam loceng, permainan, pembelian atas talian dan menonton filem.

Pada zaman kini, hampir mustahil bagi seseorang individu tersebut tidak mempunyai telefon bimbit.

Ada, tapi ianya kes yang terpencil yang jarang sekali kita mendengarnya.

Malah, kita tidur pun sebelah telefon bimbit, betul ke?

 

Malaysia menduduki tempat ke-10 mempunyai telefon bimbit di dunia

Apabila Amerika Syarikat membuat pengumuman larangan ke atas Huawei suatu ketika dahulu, semua pihak menjadi panik.

Ia menjadi bahan sensasi yang mendapat pelbagai reaksi daripada komuniti dunia.

Lebih-lebih lagi pengguna Huawei.

Kesannya, ramai yang mengambil tindakan dengan menjual telefon bimbit Huawei mereka dengan harga di bawah pasaran.

Begitu juga apabila perkhidmatan Instagram, Whatsapp dan Facebook tergendala, rata-rata mengeluh kerana ianya mengganggu urusan lebih-lebih lagi urusan yang penting.

Tahukah anda, Malaysia merupakan negara ke-9 paling aktif menggunakan media sosial.

Ini menunjukkan rangkaian sosial menjadi pilihan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jadi tidak hairanlah Malaysia menduduki tempat ke-10 mempunyai telefon bimbit di dunia.

Jika kita melihat trend kini, evolusi telefon bimbit semakin pesat, ada sahaja versi menaik taraf dari model yang lama.

Model mana yang paling canggih, ia dilihat sebagai leader dalam pasaran.

 

Gunakan telefon bimbit untuk kebaikan

Sejauh manakah anda menggunakan telefon bimbit ke arah kebaikan?

Penggunaan telefon bimbit jika tidak disalurkan ke jalan yang betul dan tidak dikawal, pengguna akan terdedah kepada keburukan.

Ibarat duit syiling dimana head dan tail sentiasa beriringan.

Sebagai pengguna yang bijak, kita hendaklah mengawal dan mengehadkan apabila menggunakan telefon bimbit.

Ini kerana, kita terdedah kepada sisi gelap yang bakal dihadapi seperti pencuri cyber, ketagihan dan mensia-siakan waktu.

Oleh itu, seimbangkan kehidupan kita dengan dunia nyata dan dunia maya.

Banyakkan interaksi dengan orang luar, hadkan penggunaan telefon bimbit dalam kehidupan seharian.

Cari perkara yang boleh meningkatkan nilai diri, motivasi, keyakinan, pengetahuan dan kemahiran interaktif bersosial seperti menyertai virtual run, bersenam di gim, menyahut kempen derma darah, menghadiri persidangan dan kursus-kursus yang meningkatkan skil.

Walaubagaimanapun, telefon bimbit tidak salah jika pengguna menggunakannya ke arah kebaikan.

Pengguna boleh menggunakan untuk menyebarkan manfaat kepada orang lain dimana platform rangkaian sosial digunakan secara optimum dan seimbang.

Gunakan waktu, wang dan tenaga bagi mendatangkan kebaikan.

Selain itu, pengguna boleh jana pendapatan melalui penggunaan internet, telefon bimbit dan rangkaian sosial secara serentak seperti carousell, paid review, lelong.my dan sebagainya.

Jika anda pengguna Netflix, anda boleh melihat rancangan berkategorikan pendidikan seperti Marie Kondo, Brain Games, Planet Earth dan banyak lagi.

Rancangan-rancangan ini membantu dalam meningkatkan pengetahuan anda.

Anda juga boleh menggunakan rangkaian sosial dalam membina personal branding bagi menyampaikan ilmu pada pengguna rangkaian sosial yang lain dan membina networking.

Window shopping bagi menjimatkan masa seperti shoppe dan lazada serta memudahkan misalnya Shopback dan Moocash.

 

Kesimpulan

Kepesatan teknologi asalnya bertujuan untuk memudahkan urusan harian manusia.

Semakin hari, banyak inovasi yang diperkenalkan dengan mensasarkan untuk menjadi leader dan pilihan masyarakat.

Walaubagaimanapun, kepesatan teknologi boleh menyebabkan kepincangan masyarakat.

Pada akhirnya, pengguna perlu bijak apabila mengendalikan kemudahan ini.

Ambil tindakan jika mempunyai tanda-tanda ketagihan melampau.

Adakah anda mengiktiraf media baharu sebagai gaya hidup moden?

Similar Posts